Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemimpin Asean semalam meluluskan Deklarasi Hak Asasi Manusia Asean sebagai komitmen untuk mempertingkat dan melindungi hak asasi manusia di rantau ini.  

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menandatangai deklarasi itu bagi pihak kerajaan Malaysia di Peace Palace, di Phnom Penh semasa Sidang Kemuncak Asean ke-21.  

Sembilan pemimpin lain Asean turut menandatangani deklarasi.

Deklarasi itu, antara lain, melindungi hak rakyat di semua bidang kehidupan meliputi kanak-kanak hingga wanita.

Deklarasi itu adalah antara keputusan penting sidang itu ketika 10 negara anggota bergerak ke arah menubuhkan Komuniti Asean menjelang 2015.  

Bercakap kepada pemberita kemudian, setiausaha agung Asean Dr Surin Pitsuwan berkata deklarasi itu adalah sebagai komitmen para pemimpin Asean dalam usaha menggalak dan melindungi hak asasi manusia di rantau ini, yang tidak saja berasaskan cara kita tetapi turut mematuhi standard tertinggi antarabangsa.

Bercakap kepada wartawan Malaysia kemudian, Najib berkata 12 ciri pada prinsip deklarasi adalah lebih baik dan lengkap berbanding norma-norma hak asasi manusia antarabangsa.

Beliau diminta mengulas mengenai kritikan dan penolakan deklarasi oleh beberapa kumpulan hak asasi manusia yang mendakwa ia tidak memenuhi standard hak asasi manusia antarabangsa.

"Kita mempunyai norma-norma dan nilai-nilai kita sendiri," kata Najib dan menambah bahawa Asean menolak nilai-nilai barat mengenai lesbian, gay, bi-seksual dan transeksual (LGBT).

"Kami menolak LGBT tetapi ia tidak menjejas hak asasi manusia rantau ini," kata Najib.

- Bernama

ADS