S'gor jimat RM80j selepas kutip sampah sendiri

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri berjaya menjimatkan lebih RM80 juta setahun selepas kutipan sisa pepejal negeri itu diuruskan sendiri pihak berkuasa tempatan – berbanding sewaktu ia diuruskan Alam Flora Sdn Bhd.

"Wang penjimatan ini kita salurkan semula kepada rakyat sejajar dengan semangat "Hasil Negeri untuk Rakyat" melalui skim pemberian 25 peratus rebat cukai pintu kepada rumah flat kos rendah di seluruh Selangor," katanya sewaktu membentangkan belanjawan Selangor bagi tahun 2013.

Alam Flora dilapor menghentikan kutipan sisa pepejal di Selangor pada 16 Oktober 2011 selepas Selangor memutuskan mengambil alih perkhidmatan berkenaan.

Sebelum itu Khalid sekali lagi menegaskan bahawa perjanjian perkhidmatan yang dimeterai di antara kerajaan negeri dahulu dan Alam Flora berat sebelah dan merugikan rakyat Selangor.

Bagaimana pun, Selangor sentiasa berunding dengan Alam Flora untuk menyelesaikan baki tunggakan hutang, katanya.

"Hasil daripada semakan yang kita lakukan, kerajaan negeri akan membuat tuntutan balas kepada Alam Flora kerana kebanyakan kompaktor dan mesin yang dipulangkan kepada kita (berada) dalam keadaan yang sangat teruk," katanya.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.