Seorang mati, dua cedera diserang 10 lelaki bersenjata

Seorang lelaki mati dipercayai ditetak manakala dua lagi cedera selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian kira-kira 6.30 petang di Lorong Ikan Jelawat Enam dekat ibunegara malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Amiruddin Jamaluddin berkata ketika kejadian, tujuh lelaki sedang melepak di taman permainan sebelum tiga daripada mereka dikejar sekumpulan lelaki lain.

"Sekumpulan penyerang lelaki terbabit, yang dianggarkan seramai 10 orang menaiki sebuah kereta dan dua buah motosikal, menyerang mangsa menggunakan senjata dipercayai parang.
    
Beliau berkata seorang daripada mangsa yang berusia 25 tahun mati di tempat kejadian manakala dua lagi berusia 21 tahun cedera di bahagian badan dan dihantar ke Hospital Ampang," katanya.
    
Amiruddin berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat.
    
-  Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.