S'gor perjelas penstrukturan semula industri air

Kerajaan Selangor hari ini mengemukakan penjelasan mengenai tindakan yang diambil dalam memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air negeri di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dalam Kertas Putih yang dibentang di Dewan Undangan Negeri.

Menurut dokumen itu, penstrukturan semula itu tidak dapat dimuktamadkan kerana pemegang konsesi menuntut nilai pampasan tinggi.

Dalam tawaran itu, kerajaan bersetuju membayar sehingga sehingga RM9.27 bilion kepada pemegang konsesi – yang memberi pulangan keuntungan sehingga 12 peratus kepada pemegang konsesi – namun ditolak.

Dokumen itu juga menekankan bahawa penstrukturan semula itu perlu, antaranya bagi memastikan ketelusan dan kecekapan dalam perkhidmatan air – yang hanya boleh dicapai sekiranya syarikat pengendali itu dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

Namun pada masa ini, industri berkenaan dijalankan secara tidak holistik kerana rawatan dan agihan dikendalikan pihak berlainan.

Berikut adalah ringkasan Kertas Putih tersebut:

Tujuan utama penstrukturan semula industri perkhidmatan air ini bagi memastikan pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mendapat perkhidmatan air yang lebih cekap, berkesan pada kadar tarif yang munasabah.

Pada ketika ini, industri perkhidmatan air dijalankan tidak secara holistic yang mana rawatan dan agihan dikendalikan pihak yang berlainan melibatkan empat konsesi iaitu Puncak Niaga Sdn Bhd, Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd dan Konsortium ABASS Sdn Bhd mengendalikan rawatan manakala agihan di kendalikan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS).

Pengurusan tidak holistik ini menyumbang kepada pengurusan air tidak cekap dan kos operasi yang membebankan pengguna melalui kenaikan tarif yang tinggi.

Pada 16 Januari 2008, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju supaya Kumpulan Darul Ehsan Berhad mengambil alih operasi dan penyelenggaraan bagi rawatan dan pembekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya termasuk Loji Langat 2.

Namun sehingga hari ini, penstrukturan semula industri perkhidmatan air masih belum dapat dimuktamadkan.

Model holistik penstrukturan semula oleh kerajaan Selangor mengambil kira aspek antaranya:

  • Mengambil alih aset dan ekuiti syarikat konsesi sedia ada yang menjurus kepada penamatan perjanjian penswastaan
  • Mewujudkan satu SPV air yang dimiliki kerajaan negeri sebagai operator rawatan dan agihan air
  • Menetapkan kenaikan kadar tarif tidak lebih 12% setiap tiga tahun sekali

Bagi merealisasikan penstrukturan ini, kerajaan Selangor dan Menteri Besar telah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bermula 20 April 2009.

Kerajaan Selangor juga mengemukakan tawaran bagi mengambil syarikat konsesi sebanyak tiga kali.

 Tawaran/Nilai Tawaran
 Jumlah (RM/juta)
 Status
 13 Feb 2009
 5,709 Ditolak semua pemegang konsesi
 25 Jun 2009
 9.218 ABASS & Splash setuju terima tawaran,  SYABAS & Puncak Niaga tolak
 31 Jan 2010
 9,277 Ditolak semua pemegang konsesi

 

 

 

 

 

Harga yang ditawarkan ini termasuk nilaian aset, ekuiti dan liabiliti termasuk bon yang ditanggung konsesi. Tawaran ini memberi pulangan keuntungan sebanyak 12 peratus kepada pemegang konsesi.

Jika pemegang konsesi tidak setuju dengan tawaran, kerajaan negeri akan merujuk nilaian kepada Badan Timbang Tara Bebas Antarabangsa untuk menentukan fair market value supaya pemegang saham dibayar pampasan adil dan munasabah.

Disediakan oleh Sekretariat Akhbar Pejabat Dato’ Menteri Besar Selangor Status semasa penstrukturan semula. Sehingga hari ini, penstrukturan semula industri perkhidmatan air di bawah model holistik masih belum dapat dimuktamadkan.

Ini kerana, pemegang konsesi menuntut nilai pampasan tinggi walaupun kerajaan negeri bersetuju bayar 12 peratus.

Kerajaan Persekutuan juga enggan turut serta dalam rundingan pengambilalihan syarikat konsesi telah melambatkan penstrukturan walaupun kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa eksekutif dalam sektor air mengikut Seksyen 3 (1) Akta 655.

Pendirian kerajaan negeri


Tidak wajar untuk membayar pampasan terlampau tinggi dan over price kepada pemegang saham syarikat konsesi kerana syarikat-syarikat ini telah beroperasi sehingga mengaut pulangan modal serta mencapai jangkaan keuntungan shareholders IRR dalam bentuk dividen.

Namun, syarikat konsesi boleh merujuk kepada Timbang Tara Bebas Antarabangsa yang mana kerajaan negeri mematuhi apa jua keputusan yang dibuat.

Dalam menentukan nilai pampasan, Kerajaan negeri perlu ambil kira kepentingan rakyat dan pada masa yang sama nilai itu tidak merugikan mana-mana pihak.

Melalui penstrukturan semula ini, perjanjian penswastaan air akan ditamatkan dan pengguna tidak perlu lagi dibebankan dengan pre-determined tarif. Sebaliknya penetapan tarif di bawah SPAN.

Kerajaan negeri sasarkan kenaikan tarif tidak lebih 12 % setiap tiga tahun sekali.

Kerajaan negeri menekankan perkhidmatan air perlu diuruskan dengan mementingkan ketelusan, akauntibiliti, berkesan, cekap dan tidak mementingkan keuntungan semata-mata. Hasrat ini boleh dicapai melalui syarikat operator yang dimiliki penuh oleh kerajaan negeri bukan melalui syarikat persendirian yang mementingkan keuntungan semata-mata.

Model holistik yang dicadangkan kerajaan negeri terbukti penyelesaian semua masalah pengurusan bekalan air secara komprehensif dan menjamin pengurusan air dengan cekap, berkesan, berintegriti dan tidak membebankan rakyat.

Kerajaan negeri berpendapat pindaan ke atas jadual Sembilan Perlembagaan Persekutuan pada Januari 2005 memberi mandat bahawa industri perkhidmatan air perlu diuruskan secara bersama oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.