MP dakwa syarikat ditubuh lepas dapat kontrak AES

MP Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar hari ini mendakwa kontraktor Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) hanya mendaftarkan syarikat tersebut selepas memperoleh kontrak untuk memasang sistem itu.

Beliau membuat kesimpulan itu berdasarkan butiran syarikat Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd yang diperolehi dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Menurut Mahfuz, butiran pada pendaftaran syarikat itu menunjukkan syarikat berkenaan memperoleh kontrak tersebut sebelum syarikat itu didaftarkan lagi.

Satu dokumen yang ditunjukkan Mahfuz kepada pemberita, didakwa daripada SSM, menunjukkan ATES Sdn Bhd mendaftarkan syarikat tersebut pada 12 Februari 2009, manakala Beta Tegap Sdn Bhd pula pada 7 Februari 2004.

"Bagaimana dua syarikat ini tahu mereka dapat jaminan kerajaan sedangkan Kabinet meluluskan AES pada tahun 2006 dan saringan tender dilakukan pada 2006?

"Mereka daftar syarikat semata-mata nak dapatkan tender.

"Ini menunjukkan ada perkara yang tak kena. Ini bukan untuk selamatkan nyawa manusia tetapi untuk mengayakan kroni," dakwanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha ketika bercakap kepada pemberita selepas itu memberitahu, projek berkenaan dianugerahkan kepada syarikat berkenaan pada tahun 2008.

Namun, kontrak berkenaan hanya ditandatangan "beberapa tahun kemudian", katanya di bangunan Parlimen.

Bekas menteri pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat sebelum ini berkata, kabinet memutuskan untuk menswastakan pemasangan AES sebelum beliau menjawat jawatan itu.

Ong berkata beliau turut membangkitkan mengenai penswastaan berkenaan ketika menjadi menteri pada 2008.



 

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.