Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jakim: Doa hancur BN, Umno langgar adab, tatacara doa

Tindakan PAS mengadakan solat hajat serta doa menjatuhkan Barisan Nasional (BN) dan Umno dalam pilihan raya umum akan datang disifatkan sebagai melanggar adab dan tatacara berdoa.   

    

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Othman Mustapha berkata sesuatu doa itu hendaklah dilakukan bersesuaian dengan kehendak syarak iaitu bagi tujuan kebaikan dan bukannya dilakukan dengan niat atau tujuan lain.

    

"Jika kita meneliti sejarah baginda Rasulullah S.A.W. sendiri, beliau tidak pernah berdoa untuk kecelakaan umatnya walaupun Rasulullah pernah dicaci maki oleh orang yang membenci perjuangannya.

    

"Kita perlu ingat bahawa doa itu merupakan satu ibadat dan cara hidup yang diajar oleh Rasulullah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    

Othman menasihatkan umat Islam supaya tidak mendoakan kecelakaan mana-mana pihak atas sebab kejahilan atau kekurangan seseorang itu kerana doa sebagai senjata umat Islam bertujuan menyeru ke arah kebaikan serta demi kemaslahatan (kepentingan) umum.

"Hayatilah etika bersangka baik kerana besar kemungkinan orang yang kita benci dan caci itu mungkin lebih baik di sisi Allah dan umatnya," katanya.

    

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Masitah Ibrahim berkata setiap umat Islam perlu mengikut adab dan tatacara berdoa kerana doa ini adalah otak kepada ibadah.

    

"Sebagai salah satu ibadah, maka kita hendaklah mendoakan yang terbaik sesama manusia bukannya perkara yang sia-sia atau keburukan.

    

"Tindakan ini juga boleh dikatakan sebagai terdesak untuk mendapatkan kuasa dan bermotifkan politik semata-mata," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Persidangan Antarabangsa Islam dan HIV/Aids di sini.  

    

Masitah berkata kandungan doa itu jelas menunjukkan PAS terlalu mempolitikkan agama serta menjadikan agama sebagai senjata politik mereka untuk menarik undi.

    

Katanya, tindakan sebegini jelas tidak melambangkan keperibadian seorang Islam dan beliau berharap agar masyarakat boleh menilai sendiri tindakan PAS itu.

    

Beliau juga menolak presepsi negatif PAS kepada kerajaan sedia ada yang dikatakan bersikap 'zalim' kepada rakyatnya dengan menyifatkan kenyataan tersebut berbaur politik.

    

"Kalau kata BN ini zalim, PAS tidak mungkin boleh mengadakan sebarang aktiviti politik di negara ini," katanya.

    

PAS mengadakan solat hajat di Stadium Muhammad IV di Kota Baharu 16 November lepas yang dipimpin adik Nik Aziz, Nik Razi Nik Mat sempena Muktamar ke-58 parti itu.

- Bernama

ADS