KDN: Harga kamera had laju berbeza kerana 'kos lain'

Timbalan menteri dalam negeri, Datuk Abu Seman Yusop hari ini menjelaskan, kos RM23.5 juta bagi 124 kamera perangkap had laju untuk pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah termasuk kos latihan kepada pasukan tersebut.

"Kos pembelian termasuk latihan kepada pengguna iaitu PDRM dan jaminan selama dua tahun dan penyelenggaraan peralatan tersebut," katanya di Dewan Rakyat petang ini.

Dalam ucapannya itu, Abu Seman juga berkata, kamera berkenaan dibeli melalui tender terbuka dan turut melibatkan kos pemasangan alat berkenaan.

Namun, penjelasan itu masih gagal memuaskan hati Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) yang berkata kerajaan negeri di Amerika Syarikat memperolehi kamera sama dengan harga lebih rendah – sekitar RM15,000 ke RM18,000 seunit termasuk kos pemasangan dan jaminan.

"Jadi takkanlah kita beli sampai RM173,000 sampai RM223,000 seunit hanya nak masuk (kos) latihan.

"Saya fikir satu benda yg tak masuk akal, kos latihan RM100,000 lebih, kos kamera RM15,000 ke RM18,000 lebih setiap satu," kata Mahfuz yang mahu satu audit dilaksanakan bagi menyiasat perkara itu.

Abu Seman turut menerima soalan bertalu-talu dari Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) yang meminta beliau menjelaskan perbezaan harga tersebut.

Beliau kemudiannya memberi jawapan ringkas bahawa perbezaan kos itu berlaku kerana terdapat kos lain.

"Ada kos-kos lain," katanya sambil menambah nama syarikat yang mendapat kontrak itu akan didedahkan kemudian.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.