Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib minta kaum India nilai semula sumbangan k'jaan BN

Datuk Seri Najib Tun Razak meminta masyarakat India di negara ini supaya menilai semula sumbangan dan bantuan Kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada masyarakat itu sepanjang empat tahun ini.

    

Perdana Menteri berkata banyak masalah tertunggak masyarakat itu telah dapat diselesaikan oleh kerajaan termasuk memberi peruntukan besar untuk meningkatkan taraf pendidikan dan ekonomi mereka.

    

"Sejak menjadi Perdana Menteri, peruntukan untuk kaum India bertambah dengan begitu ketara sekali...bantuan untuk sekolah Tamil antara 2009 hingga 2012 mencecah RM300 juta dan RM100 juta lagi kita tambah dalam bajet 2013," katanya ketika berucap melancarkan Buku Tamil Karya Penulis Tempatan di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya malam tadi.

    

Beliau berkata kerajaan juga telah dapat menyelesaikan banyak  masalah masyarakat India seperti permohonan kad pengenalan, sijil kelahiran serta taraf kewarganegaraan.

    

Kerajaan juga lebih prihatin dengan mempraktikkan dasar pendekatan

kepada rakyat dengan menghantar pasukan kerajaan untuk turun padang supaya rakyat mudah berinteraksi bagi menyelesaikan masalah mereka, katanya.

    

"Di bawah payung konsep 1Malaysia kita mahu pastikan semua  dasar-dasar kerajaan dapat memberi faedah kepada setiap kumpulan etnik sama ada besar mahupun kecil.

    

"Kita mahu membuka lebih banyak peluang supaya setiap warga  Malaysia akan dapat mencapai tahap kejayaan yang maksima, yang cuma berbeza sama ada mahu atau tidak rajin atau sebaliknya," katanya.

    

Najib juga berkata rakyat tidak boleh memberi kepercayaan kepada pihak pembangkang yang kini nampak bercelaru dengan pendapat masing-masing.

    

"Mereka ibarat tidur sebantal tapi mimpi lain-lain. Kita tidak boleh

memperjudikan masa depan kita. Masa depan kita terlalu mahal sebenarnya untuk kita dan anak-anak kita," katanya.

    

Mengenai penerbitan buku Tamil, Perdana Menteri turut  meminta supaya Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dapat membantu lebih banyak penerbitan karya Tamil supaya khazanah budaya dan kesasteraan India dipelihara untuk generasi akan datang.

    

Beliau berkata dalam menghadapi fenomena 'localisation' di  mana setiap kumpulan etnik mahu mengekalkan jati diri dan identiti masing-masing, masyarakat India tidak terkecuali dalam usaha untuk memelihara warisan dan budaya mereka.

    

Bagaimanapun, Najib berkata ini tidak bererti masyarakat India tidak mahu terlibat dalam pembentukan masyarakat Malaysia atau menyumbang kepada perpaduan.

    

"Saya di sini untuk beri sokongan kepada usaha Parti Makkal  Sakti dan Universiti Malaya kerana saya faham usaha seperti ini dekat di hati masyarakat Tamil.

    

"Saya percaya program ini dapat memberikan Putiya Nambikkai (Harapan Baru) dalam mengorak langkah penulis Tamil di Malaysia," katanya.

Pada majlis itu, Najib melancarkan 10 buku Tamil yang dihasilkan oleh

penulis tempatan.

    

Turut hadir Presiden Yayasan Sakti Datuk R.S Thanenthiran dan Pengarah program 'Cherish & Share', Prof Dr M.Rajantheran.

    

- Bernama

ADS