PM: Kalau tak rosak, tak payah tukar kerajaan

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan bahawa tidak perlu perubahan kerajaan di Malaysia kerana pentadbiran sekarang telah menjadinya sebuah negara yang dicemburi banyak negara lain.

elderly woman at barisan 1malaysia gatheringMerujuk kepada Arab Spring, beliau berkata, rakyat Malaysia tidak
boleh membenarkan pemberontakan seumpama itu berlaku di sini.

Oleh itu, katanya, mengapa hendak membaiki kerajaan yang ada jika ia tidak rosak, malah Malaysia dicemburi banyak negara lain.

Menurutnya, jika Malaysia sebuah negara yang gagal, masakan orang Bangsamoro (umat Islam di selatan Filipina) pandang ke Malaysia untuk mewujudkan keamanan selepas 40 tahun pertumpahan darah di sana.

Najib berkata demikian kepada kira-kira 2,000 orang di perhimpunan NGO yang ditaja oleh kerajaan - Himpunan Barisan 1Malaysia - di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

barisan 1malaysia gathering pwtc makciksPM berkata situasi di negara-negara yang mengalami perubahan rejim
semasa Spring Arab adalah jauh berbeza dari Malaysia di mana para belianya "penuh dengan harapan masa depan yang jauh lebih baik daripada hari ini".

Beliau berkata, kerajaan juga telah menyediakan pelbagai insentif kepada rakyat, dan boleh memberi lebih banyak lagi jika negara ditadbir dengan baik.

barisan 1malaysia gathering pwtc crowdMenurutnya, kerajaan telah menaikkan gaji, elaun dan pencen, memberi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 1, BR1M 2, yang juga diberi kepada orang bujang, malah diberikan tayar kereta percuma.

Malah, katanya, lebih banyak boleh diberikan pada masa hadapan dengan syarat negara ditadbir dengan baik.

Dan ini, katanya, tidak boleh dilakukan melalui "janji kosong" yang menurutnya seperti yang disebutkan dalam manifesto pembangkang Buku Jingga.

"Atau Buku Jing-gay, tapi itu orang lain kata, bukan saya kata," kata Najib secara berseloroh. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Najib mengingatkan semua pihak khasnya pembangkang agar tidak cuba melibatkan campurtangan asing dan membawa budaya negatif dari luar yang boleh merosakkan potensi dan masa depan Malaysia sebagai sebuah negara.

Menyelar tindakan yang disifat memalukan negara itu, Perdana Menteri berkata potensi Malaysia tidak wajar dirosakkan dengan kemasukan anasir luar kerana negara ini penuh dengan pengharapan dan mempunyai masa depan yang lebih baik daripada apa yang dimiliki hari ini.
   
"Kita sudah ada yang baik di sini...'why fix when it is not broken' (kenapa nak betulkan jika tidak ada yang salah)," katanya.

Najib berkata Malaysia kini menjadi contoh kepada banyak negara malah ada yang mencemburui kejayaan dan pencapaian negara namun ada pihak di dalam negara yang sengaja mencari kesalahan kerajaan untuk dijaja ke negara luar.
   
"Jangan cakap dalam negeri, orang Bangsamoro pun hendak berdamai pandang ke Malaysia, (selama) 40 tahun, lebih 100,000 orang sudah mati, tapi kata putusnya pada Malaysia.

"Di sini ada orang cari salah pada kita, (sedangkan) yang lain lagi teruk. Di Amerika Syarikat pilihan raya presiden pun banyak masalah, pengundi tidak ada nama di tempat mengundi, keputusan lambat, tetapi tidak ada pihak yang kata ada penipuan besar, pemilihan (Presiden Barack) Obama bagi penggal kedua tidak sah, tidak ada...," katanya.
   
Sambil menempelak pembangkang yang sering mempersoalkan dan mempertikai kerajaan, Najib berkata mereka bagaimanapun mendiamkan diri apabila barisan pembangkang berjaya merampas lima negeri daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008.
   
"Jadi jangan minta negara luar campurtangan, jangan bagi malu kepada negara kita. Kita sudah buat yang terbaik untuk Malaysia tapi dia pergi Australia untuk minta campurtangan, nasib baik Australia tidak ikut," katanya, merujuk tindakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilaporkan meminta bantuan Australia untuk memastikan pilihan raya umum bebas dan adil di Malaysia.
   
Australia bagaimanapun menolak rayuan itu serta menegaskan bahawa negara itu tidak akan mempengaruhi cara pilihan raya umum patut dilaksanakan di Malaysia.
   
"Dia tahu kita ada hubungan baik, dia tahu pemimpin kita, dia kenal. Ini dia (Anwar) pergi sana cucuk sana, cucuk sini.

"Kita jangan jadi macam itu, kita ada peluang dan masa depan yang cukup baik jadi fikirkanlah untuk masa depan anak-anak kita," tegasnya.

Menyedari sokongan rakyat tidak lagi tertumpu hanya kepada parti-parti siasah, Najib berkata realiti baru politik yang didukung perkembangan teknologi maklumat menuntut kerajaan untuk mengukuhkan hubungan dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat umum.

"Sebab itu kita mengiktiraf NGO kerana Barisan Nasional (BN) faham masa depan negara bergantung kepada permuafakatan bersama NGO dan masyarakat madani yang seharusnya dibawa bersama sebagai rakan kongsi untuk mencapai matlamat
mentransformasikan negara," katanya.

Menegaskan BN bukanlah parti yang kaku, Najib berkata kerajaan bersedia melakukan perubahan untuk membawa kejayaan lebih besar kepada negara.
   
"Kita telah membuktikan tidak semestinya kita tukar kerajaan untuk maju tetapi kita boleh membawa perubahan yang besar dengan kerajaan yang sama," katanya.

 

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.