Tersepit sejam kereta rempuh pokok kelapa

Seorang petugas Pejabat Daerah Dungun tersepit hampir satu jam selepas kereta yang dipandunya terbabas merempuh sebatang pokok kelapa di Kilometer 6.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Pantai Batu Pelanduk di Dungun awal pagi tadi.

Hishamuddin Hussin, 27, yang memandu kenderaan dari Dungun selepas berjumpa rakan menuju rumahnya di Kampung Kuala Batil, tersepit di bahagian tempat pemandu, patah kedua-dua belah kaki dan cedera di kepala.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi di satu selekoh apabila
Hishamuddin dipercayai hilang kawalan kenderaannya sebelum merempuh pokok kelapa di tepi jalan.
    
Ketua Balai Bomba Daerah Dungun, Nor Azizi Che Noh berkata pihaknya mengambil masa kira-kira satu jam mengeluarkan mangsa yang tersepit dan dihantar ke Hospital Daerah Dungun untuk rawatan.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.