Najib harap Umno tunjuk kemampuan 'menang besar'

Selasa ini, 5,447 orang anggota perwakilan Umno berkumpul di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada perhimpunan agung yang bakal menunjukkan kepaduan dan kesiapsiagaan parti itu sebelum menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Dalam wawancara khas bersama pengarang-pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Utusan Malaysia baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden Umno berkongsi harapan beliau untuk melihat kepaduan dalam Umno untuk terus menggalas tanggungjawab membela nasib orang Melayu dan semua kaum di Malaysia ke arah menjadi sebuah negara maju dan bersatu di bawah Gagasan 1Malaysia.

Berikut adalah transkrip wawancara yang dihadiri Ketua Pengarang Bernama Datuk Yong Soo Heong, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Abdul Aziz Ishak, Timbalan Ketua Pengarang Bernama Datuk Zulkefli Salleh, Timbalan Ketua Pengarang Utusan Malaysia Datuk Othman Mohamad, serta pengarang berita Bernama Mokhtar Hussain dan Penolong Pengarang Utusan Malaysia Zulkefli Hamzah.
      
Soalan: Apakah mesej dan harapan kepada perwakilan Perhimpunan Agung Umno 2012 memandangkan ia merupakan perhimpunan terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).
    
Najib: Bukan rahsia lagi ini merupakan perhimpunan terakhir sebelum PRU-13. Oleh itu, perhimpunan agung pada kali ini seharusnya menggambarkan sebuah parti yang sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya dalam erti kata yang sebenarnya, secara komprehensif dan menyeluruh sama ada dari segi imej parti kita, hala tuju parti, perpaduan dalaman parti, organisasi sampailah ke peringkat akar umbi.

Ia seharusnya menampilkan sebuah parti yang sudah pun kukuh, mantap dan mempunyai daya juang dan motivasi yang tinggi untuk memastikan kemenangan yang besar untuk Umno dan BN.
    
Soalan: Jika dibandingkan dengan perhimpunan yang lepas, bagaimana Datuk Seri menilai pencapaian Umno setahun kebelakangan ini termasuk dari segi kekuatan, termasuk juga kalau ada kelemahan?
    
Najib: Umno sebagai sebuah parti telah dapat menambahkan persiapan dan kesediaannya untuk menghadapi pilihan raya akan datang. Kerja-kerja yang telah diarahkan kepada parti telah dapat disempurnakan. Sama ada persediaan sampailah peringkat kepada pusat daerah mengundi, sampailah kepada kerja-kerja lain yang patut kita lakukan sebagai sebuah parti termasuk kursus, penambahan pengundi, memastikan khidmat bakti kita kepada masyarakat terus ditingkatkan lagi dan mengelak daripada permasalahan dalaman yang boleh menggugat imej parti.

Saya akui memang bukan semuanya boleh dikatakan ideal atau tidak ada masalah dalaman sama sekali. Tapi umumnya memang lebih baik hari ini berbanding setahun yang lalu dan tentu jauh lebih baik daripada gambaran yang kita lihat dalam Pakatan Rakyat yang hari ini menampilkan parti yang tidak sehaluan, ikatan yang rapuh dan banyak yang cuba diselindungi mereka selama ini hari ini sudahpun terbongkar dan sudah tidak dapat dibendung lagi.

Apa yang dilihat sebagai permasalahan dalaman, sama ada dilihat dari segi perbezaan hala tuju ataupun dari segi perkara pokok seperti siapa patut jadi perdana menteri mahupun dari segi amalan-amalan dalam parti yang telah pun dipertikaikan hebat seperti pendapat tentang kebebasan menukar agama, pendapat tentang amalan yang tidak selari dengan Islam dan sebagainya.

Jadi, kalau kita lihat antara dua itu, Umno dan BN dilihat sudah lebih menambah keyakinan manakala parti pembangkang lebih menimbulkan banyak tanda tanya dan kontroversi yang boleh dipertikaikan oleh pengundi.
    
Soalan: Adakah perkembangan ini boleh memberi perangsang kepada BN dan Umno?

Najib: Sama ada ia memberi keuntungan kepada kita ialah sejauh mana kita dapat menyampaikan mesej kita kepada rakyat. Komunikasi kita kepada rakyat. Itu yang perlu. Bila saya sebut komunikasi, bukan secara konvensional tapi juga melalui media alternatif dan sebagainya. Ini perlu dilakukan supaya rakyat benar-benar tahu bahawa pilihan yang terbaik adalah untuk Barisan Nasional.  
    
Soalan: Boleh Datuk Seri nyatakan lima sebab utama mengapa Umno/BN perlu diberikan mandat besar dalam pilihan raya ini?  

Najib: Umno dan BN mempunyai visi atau wawasan dan hala tuju yang cukup jelas, dan bukan macam pembangkang yang masih kabur. Umno dan BN merupakan satu pakatan yang terikat kepada dasar-dasar yang disokong bersama dan tidak ada percanggahan dari segi dasar mahupun ideologi, berbanding dengan pembangkang yang seringkali mengeluarkan pendapat yang berbeza dan bercanggah atas soal-soal pokok dan fundamental.

Kita mempunyai 'track record' pencapaian yang terbukti dan tidak boleh disangkal dalam mengurus negara kita. Kita telah dapat meyakinkan rakyat bahawa peta jalan ke hadapan adalah berdasarkan kemampuan kita untuk melaksanakan selama ini. Maknanya keyakinan rakyat bahawa kemampuan kita untuk melaksanakan agenda negara iaitu transformasi besar yang ingin kita perlihatkan.

Dari segi kekuatan moral yang ada pada kita berdasarkan pada prinsip janji ditepati sebab kita sebagai sebuah kerajaan tidak pernah janji yang kita tak dapat tunaikan. Sebagai kerajaan, janji. Parti pembangkang sebaliknya bertujuan memperdaya pengundi asalkan matlamat mereka nak merampas Putrajaya tercapai.

Hatta jawatan Perdana Menteri pun tidak sependapat. Mereka tidak ada kabinet bayangan pun dan ideologi mereka sering bercanggah dan asyik berubah.

Siapakah yang boleh menjanjikan masa depan yang lebih baik dan lebih bersinar berbanding dengan pembangkang, yang tahap kredibiliti dan keyakinan boleh dipertikaikan.

Masa depan kita, masa depan anak-anak kita terlalu mahal untuk diperjudikan dan mengambil risiko yang terlalu besar. Sebaliknya dengan BN, tahap keyakinan lebih tinggi dan ini dapat kita lihat dari segi prestasi pasaran termasuk pelabur-pelabur dalam dan luar negara terhadap kemampuan kita untuk mentadbir negara dengan baik dan berkesan.
    
Soalan: Datuk Seri tentu akan menggunakan ucapan dasar Presiden untuk memberi ucapan jelas kepada seluruh jentera parti dan rakyat. Boleh Datuk Seri jelaskan?
    
Najib: Ya, ucapan dasar biasanya boleh dianggap sebagai penentu kepada perbahasan yang berlaku dalam perhimpunan kerana jurucakap akan mengambil iktibar daripada ucapan Presiden.

Jadi, kandungan dan penegasan yang saya akan buat dalam ucapan itu sepatutnya meletakkan parti kita melalui perbahasan itu kepada satu keadaan yang dapat menggambarkan perkara-perkara yang positif kepada Umno sama ada dari segi pencapaian kita selama ini, hala tuju dan juga keyakinan terhadap kepimpinan Umno dan seterusnya. Di samping itu boleh memberi jawapan kepada tuduhan-tuduhan yang dibuat oleh pembangkang kepada kepimpinan Umno dan BN.

Soalan: Di Muktamar PAS baru-baru ini, ada doa hendak menghancurkan BN dan Umno. Mungkin pada perhimpunan agung ini Datuk Seri hendak menyampaikan kepada anggota Umno bagaimana hendak memberi reaksi atau bagaimana untuk melihat sikap PAS ini.
    
Najib: PAS perlu cuba menggambarkan parti itu sebagai sebuah parti Islam. Tapi sama ada perbuatan itu (doa) adalah benar-benar menepati prinsip dan syariat Islam atau sebaliknya ia merupakan sebuah parti politik yang berselindung di sebalik imej Islam. Itu yang harus dibincang oleh parti Umno dan kalau dapat kita mengetengahkan hujah-hujah yang bernas, maka kita boleh muncul sebagai parti yang utama di kalangan orang Melayu.
    
Soalan: Datuk Seri masih percaya bahawa orang Melayu boleh disatukan? Dalam suasana global dengan pemikiran orang yang semakin terbuka seperti sekarang, apakah caranya?
    
Najib: Kita ada dua pilihan. Satu ialah penyatuan parti-parti politik yang mewakili orang Melayu atau kita boleh tampilkan Umno sebagai pilihan majoriti besar orang Melayu. Sebab dalam sistem kita, kemenangan terletak pada pihak yang dapat suara yang lebih.

Jadi bagaimana kita mencapai suara yang lebih? Tidak lain dan tidak bukan ialah melalui keyakinan rakyat terhadap kemampuan kita membela agenda yang dekat di hati orang Melayu. Dan saya yakin dan percaya pilihan utama pada orang Melayu ialah parti Umno.
    
Soalan: Orang lain menggunakan kaum dan agama sebagai asas penyatuan. Tetapi orang Melayu bersikap sebaliknya, mengapa?
    
Najib: Orang Melayu telah dikelirukan dengan hasutan dan fitnah yang bertalu-talu terhadap pemimpin Umno dan Umno itu sendiri, walaupun dakyah-dakyah tersebut merupakan serangan politik dan tidak ada asasnya. Kerana juga terpedaya dengan imej luaran seperti label parti yang dikatakan parti Islam dan rupa pemimpin yang mereka anggap lebih Islamik.

Sepatutnya kita nilailah dari segi pengisian dan agenda yang boleh meninggikan perjuangan dan syiar Islam, dan Umno telah membuktikan parti ini dapat memperjuangkan tuntutan Islam berdasarkan Maqasid Syariah.

Sejak dulu lagi kita perjuangkan Islam, bermula dengan Perlembagaan, pembentukan institusi-institusi Islam serta program-program Islam yang kita telah wujudkan dan martabatkan, seperti perbankan Islam.

Soalan: Berbalik kepada perhimpunan agung. Pada pilihan raya tahun 2008, keputusan dianggap kejutan dan pihak luar banyak meramalkan bermulanya era kejatuhan Umno. Tapi dengan kepimpinan Datuk Seri nampak ada peningkatan pada tahun pertama, kemudian ada peningkatan lebih besar pada tahun kedua dan akhirnya sekarang. Seperti ada satu kebangkitan. Kalau Datuk Seri boleh kongsi dengan kita bagaimana kebangkitan itu boleh berlaku? Mungkin ada rahsia atau strategi.
    
Najib: Saya berpegang kepada prinsip bahawa kalau kita dah jatuh kita mesti bangun semula dan kalau kita dah berjaya kita mesti teruskan kejayaan kita. Jadi bila saya ambil alih kepimpinan parti dan kerajaan, saya berazam, beriltizam untuk membuat apa saja yang termampu supaya kita dapat memulakan proses kebangkitan semula kepada Umno dan BN.

Antaranya ialah bermula dengan Gagasan 1Malaysia 'Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan'. Itu sebagai falsafah induk yang saya praktikkan dalam semua dasar kerajaan. Sebab itu, kalau kita lihat dasar-dasar kita lebih berbentuk inklusif, keterangkuman, menegakkan prinsip keadilan sosial dan di samping itu menentukan bahawa kita dapat mengetengahkan idea-idea baru dan menjadi lebih kreatif.

Saya amat faham pada abad ke-21 ini, keunggulan akan dapat diperoleh mana-mana pihak yang dapat memenangi pertandingan antara idea. Orang putih kata 'contestation of ideas'. Sebab itulah banyak program yang kita laksanakan hari ini, tak terfikir sebelum ini. Daripada Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, Pusat Transformasi Bandar (UTC), Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Teksi Rakyat 1Malaysia, Bantuan Rakyat 1Malaysia dan sebagainya.

Tapi di samping itu, soal pokok dalam pentadbiran negara yakni kita mesti ada kecekapan dalam mentadbir negara, tidak boleh kita ketepikan. Maknanya, pengurusan ekonomi negara kita mesti menjurus kepada ekonomi yang lebih kukuh dan merangsang pertumbuhan.

Walaupun dunia Eropah dalam 'recession' dan pemulihan ekonomi di Amerika Syarikat masih tidak menentu lagi, tetapi kita dapat menentukan pertumbuhan yang agak kukuh. Lebih 5.2 peratus pada suku ketiga tahun ini dan kita dapat menyediakan lebih 300,000 peluang pekerjaan. Pelaburan langsung asing (FDI) tahun 2009 sebanyak RM5 bilion, tahun 2010 RM29.3 bilion, tahun 2011 meningkat RM36.6 bilion. Ini semua pencapaian yang orang kata bertentangan dengan arus ekonomi dunia yang telah kita peroleh.

Dengan ini kita dapat memastikan bahawa kemampuan kerajaan itu dapat kita teruskan pada tahap yang tinggi, dengan tahap keyakinan yang tinggi.

Dan apa yang telah cuba dikemukakan oleh Pakatan Rakyat seperti Buku Jingga dan Bajet 2013 dan sebagainya, nampaknya pakar-pakar ekonomi tidak memberi penilaian yang tinggi kepada dasar dan program alternatif mereka. Sehingga kalau kita tanya 'investment bankers' dan penganalisis kewangan (fund managers), mereka tidak memberi penilaian yang tinggi kepada apa yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat.

Maknanya, mereka lihat cuma BN yang merupakan kerajaan yang 'viable' kepada mereka sebagai pakar dalam bidang ekonomi. Di samping itu, kita mesti pastikan kejayaan ekonomi negara kita itu dapat mengalir kepada rakyat jelata. Sebab itu program-program kita di peringkat makro telah berjaya. Kita juga nak pastikan bahawa mereka yang memerlukan pembelaan, pertolongan dan bantuan kita juga dapat melakukannya.

Soalan: Daripada aspek parti, di peringkat awal orang geleng kepala "Bolehkah Najib bawa kebangkitan kepada BN?" tapi akhirnya sekarang terbukti BN dan Umno bertambah mantap dan kemungkinan besar berpeluang untuk kekal memerintah. Apa rahsianya, dibandingkan dengan tekanan-tekanan yang Datuk Seri hadapi?
    
Najib: Saya meletakkan ini sebagai satu cabaran kepada diri. Maknanya cabaran dari segi jawatan saya dan secara peribadi. Supaya dalam keadaan krisis... kalau kita boleh anggap ini sebagai satu krisis... kita mesti gunakan segala kekuatan dan kemampuan yang ada pada kita dan menghadapi cabaran itu dengan menambahkan lagi usaha, daya fikiran kita, kemampuan kita, akal kita hatta kemampuan fizikal kita. Itu yang telah saya nyatakan pada diri, saya telah janji pada diri saya untuk melakukan yang terbaik.

Soalan: Datuk Seri, tanpa menafikan kejayaan setakat ini, masih ada penganalisis percaya bahawa kerajaan masih menghadapi cabaran untuk mendatangkan sokongan terutamanya kaum Cina. Apakah ini satu realiti atau persepsi?
    
Najib: Kita dalam sistem demokrasi terbuka, dalam keadaan di mana persekitaran hari ini sudah berubah dan perubahan ini berdasarkan beberapa faktor. Antaranya akses kepada pendidikan yang semakin meluas, taraf pendidikan yang semakin meningkat di mana mereka yang tinggal di kawasan bandar tidak perlu lagi kepada kemudahan asas. Jadi politik pembangunan tidak lagi menjadi perhitungan mereka.

Ketiga, kemunculan media sosial yang begitu berpengaruh, yang tidak pernah kita hadapi pada masa-masa yang lalu. Pada tahun 2008, media sosial baru saja muncul sebagai satu media alternatif tapi hari ini sudah jadi kebiasaan kepada banyak pihak untuk memperoleh maklumat dan apa-apa berita.

Dalam keadaan persekitaran yang sudah berubah ini, ini dikatakan politik baru. Kita telah melakukan anjakan dari segi pendekatan kerajaan. Kalau kita tak lakukan anjakan paradigma ini, kerajaan akan dilihat sebagai kerajaan yang kaku, kerajaan yang cuma boleh berjaya dalam persekitaran yang lama.

Tapi sekarang kita sudah lakukan perubahan supaya dalam keadaan sekarang ini kita boleh jadi kerajaan yang mendapat sambutan rakyat termasuk daripada kalangan generasi muda. Sebab kita dah mulakan pendekatan kepada generasi baru. Buktinya dalam pilihan raya kampus baru-baru ini kita telah menang 18 daripada 20 institusi pengajian tinggi. Ini satu kejayaan yang besar. Kalau orang muda tak sokong kerajaan tak mungkin kita menang.

Walaupun saya akui kita mempunyai masalah dengan pengundi Cina, tapi jangan kita rasa kita patut ketepikan mereka. Tetapi kita harus menambah 'engagement' dengan mereka untuk mengetahui apakah kehendak dan tuntutan mereka dan bagaimana kita boleh respon kepada kehendak mereka.

Saya lihat mereka pun sedar hari ini bahawa walaupun mereka tak perlu sangat kepada kerajaan sebab mereka tinggal di kawasan bandar dan segala sudah ada, tapi mereka juga harus sedar bahawa kejayaan mereka sebagai individu dan sebagai satu komuniti disebabkan dasar-dasar kita juga yang mewujudkan persekitaran yang memberangsangkan, di mana mereka boleh cari peluang perniagaan dan peluang majukan diri. Kalau lihat di masa depan, mereka juga perlukan negara yang ditadbir, diurus dengan baik.

Jadi BN boleh buat perkara ini di samping kita buat 'adjustment' kepada dasar-dasar kita yang mana mereka tak puas hati, dan kelemahan-kelemahan yang mereka kata perlu kita perbaiki. Umpamanya kalau mereka bimbang kadar jenayah di bandar. Jadi kita sedang respon dengan langkah-langkah yang telah dan akan kita buat lagi. Kita tak kata kadar jenayah sudah menurun jadi kita tak perlu buat apa-apa, tidak. Saya terima selagi rakyat rasa mereka tak puas hati, dan kita patut perhebatkan lagi untuk melenyapkan segala kebimbangan dan kekhuatiran mereka.
    
Soalan: Banyak dengar remarks dari orang Cina, mereka suka Najib tapi tak suka parti. Seolah-olah perubahan yang berlaku dalam parti masih belum memenuhi apa yang masyarakat Cina mahu. Contohnya, ada suara-suara yang tak senada bila Datuk Seri cuba bentuk Umno menghadapi politik baru.

Najib: Dalam sistem sekarang ini, kalau mereka suka saya sebagai Perdana Menteri, mahu tidak mahu mereka perlu beri sokongan kepada parti. Kalau tak pihak lain yang akan jadi PM dan bukan saya. Maknanya orang lain yang dia tak nak jadi PM akan jadi PM. Dan tonggak dalam sistem kita ialah sesiapa yang jadi PM. Jadi kalau dia nak saya sebagai PM yang boleh bawa transformasi kepada negara kita sebagaimana yang mereka dah yakin selama ini, jadi mereka perlu beri sekongan kepada saya.

Sebab PM yang kuat adalah PM yang dapat sokongan rakyat secara menyeluruh adalah PM yang boleh bawa lebih banyak kejayaan kepada negara ini. Daripada PM yang lemah atau tak dapat mandat sepenuhnya, boleh dipertikaikan dan apa juga pembaharuan yang dia nak bawa. Sebab sebarang perubahan itu akan menghadapi banyak cabaran. Kepimpinan tanpa sokongan politik adalah kepimpinan yang tiada kekuatan moral. Kalau tiada kekuatan moral, sukar nak hadapi cabaran-cabaran untuk bawa perubahan yang besar kepada negara kita.

Jadi, kalau mereka tak suka Umno atau BN, sekurang-kurangnya kita ni padu, sehaluan, cakap senada. Berbanding pembangkang yang dari segi asasnya, ideologi pun dah bercangggah. Siapa nak jadi PM pun tiada seia sekata.

Soalan: Kalau dibandingkan dengan 2008, adakah Datuk Seri nampak 'wind of change' dari segi respon positif kaum bukan Melayu?
    
Najib: Ya, mereka suka dengan hala tuju kita. Tapi sebarang perubahan akan makan masa sebab melibatkan perubahan sikap manusia. Makan masa. Hatta Dr Mahathir (bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad) pun selepas 22 tahun mengakui, kalau ada pun, itulah yang dia masih belum dapat capai sepenuhnya... mengubah sikap orang seperti mana yang dia kehendaki. Barack Obama pun tuntut satu penggal lagi sebagai Presiden Amerika Syarikat sebab dia kata mustahil hendak buat pembetulan apa yang dilakukan zaman George W Bush dalam masa empat tahun.

Jadi, apa yang kita nak buat ini, dari segi transformasi ke arah negara maju berpendapatan tinggi, tak mungkin dapat kita lakukan dalam masa tiga ke empat tahun ini. Ia tentu menjangkau masa yang lebih lama lagi.

Soalan: Adakah Datuk Seri merasakan rekod pencapaian Umno dan kerajaan di bawah kepimpinan BN adalah aset penting selain program transformasi untuk rakyat memilih dan memberi mandat yang lebih besar?

Najib: Ya, rekod pencapaian kita boleh dilihat yang kita telah melakukan banyak perkara yang memberi manfaat kepada rakyat dan manfaat itu kita beri secara langsung kepada rakyat. Walhal pembangkang tak ada 'track record'. Dan bila kita buat tema Janji Ditepati, mereka mempertikai seolah-olah mereka terasa pula. Mungkin mereka rasa banyak janji mereka itu tinggal janji saja. Kita tahu, tak payah kita sebut, tanya orang ramai di Selangor, di negeri-negeri yang sedang mereka perintah, bagaimana pendirian mereka terhadap janji-janji yang dibuat masa pilihan raya. Ramai akan kata mereka kecewa dengan janji-janji yang tak ditepati dan ditunaikan parti pembangkang.
    
Soalan: Menyentuh soal menangani politik baru. Pada satu tahap, Datuk Seri kena memenuhi, mengurus, menangani tuntutan bukan Melayu. Pada satu tahap lagi, Umno sebagai parti Melayu juga kena melihat tuntutan dan agenda Melayu. Bagaimana Datuk Seri mengolah perkara ini dalam menangani keadaan sekarang?

Najib: Saya berpegang prinsip Islam. Tuhan kata kita mesti berlaku adil sebagai pemimpin. Dan tuhan tak kata kepada orang Islam sahaja, Tuhan sebut secara umum. Sebab itu kalau kita berlaku adil, orang bukan Islam akan tertarik kepada kepimpinan orang Melayu Islam. Itulah saya lihat keindahan Islam itu. Dan sebab itulah Islam berkembang dari Kota Madinah ke seluruh pelosok dunia.

Bila kepimpinan Islam berlaku adil jadi ramai orang tertarik kepada Islam sebagai satu agama yang begitu indah, begitu mulia. Sebab itulah kita tak boleh bolot semua, sebab orang lain pun menyumbang kepada negara kita.

Orang India dengan estetnya, dengan jalan raya yang dibina. Orang Cina dengan keusahawanannya, sumbangan dalam bidang perniagaan untuk negara kita. Dan mereka juga membayar cukai. Jadi, asalkan kita faham perkara ini dan apa yang kita nak tolong orang Melayu kita tolong. Apa yang kita nak tolong orang Cina, India pun kita tolong secara adil dah saksama.

Misalnya kita masih teruskan agenda Bumiputera sebab kalau sebuah negara kita ini membangun dan berjaya hatta jadi negara maju tapi penduduk majoriti ini terpinggir tentu ini tidak menyumbang kepada kesejahteraan dan kestabilan negara kita juga.

Kedua, kalau tak berlaku adil pada yang lain, ini pun tak dapat tentukan negara terus aman dan stabil. Kita kena terima hakikat dan realiti. Kena ingat pada Bumiputera bukan Islam di Sabah dan Sarawak dan orang Asli juga, ada hak juga. Kita sebagai kepimpinan teras juga merupakan sebuah kerajaan yang dapat membela semua kaum, komuniti, besar kecil secara adil dan saksama.
    
Soalan: 'Affirmative action' ini sesuatu yang perlu dibuat tapi ditolak pembangkang sebab dia tak pakai istilah itu. Maka dia jadi lebih populis pada suatu masa. Tapi kalau ditakdirkan mereka memerintah, mereka juga terpaksa melakukan seperti yang BN buat selama ini.

Najib: Kita tak tahu apa dasar yang akan diamalkan pembangkang sebenarnya. Sebab dalam pakatan tu ada pasti yang nak asas perlembagaan kita dipinda. Sebab DAP dengan ideologi Malaysian Malaysia yang tidak menerima prinsip dan semangat Perlembagaan. Dan kita ada PAS yang nak wujudkan negara Islam ikut tafsiran mereka. Itu pun jadi tanda tanya kerana definisi negara Islam itu pun masih kabur lagi. Ketiga, ada PKR yang memperjuangkan pendirian yang boleh disangsi termasuk kefahaman yang terlalu liberal dan pluralisme yang juga boleh menimbulkan banyak kontroversi.

Jadi, apa dia bentuk hala tuju Pakatan Rakyat masih samar-samar dan tak menentu. Siapa yang akan jadi kuasa dominan pun belum tentu.

Cuma, dalam BN kita boleh jamin dasar kita konsisten. Apa pun akan berlaku kita, ada jaminan bahawa hala tuju dan dasar yang telah dibentang kepada rakyat dapat kita teruskan. Tapi, pembangkang penuh risiko dan tanda tanya dan kesangsian. Sama ada kita sanggup memperjudikan masa depan kita. Itu soal pokok.

Soalan: Semakin banyak perkembangan yang mahu tunjukkan pilihan raya di Malaysia tak adil, tak telus dan pelbagai tohmahan... sudah ada usaha cari campur tangan dari luar. Bagaimana hal ini boleh diurus supaya keputusan pilihan raya diterima dan kita boleh gerak terus ke depan?
    
Najib: Kita pun nak kemenangan berasaskan pilihan raya yang adil dan kita tak nak menang kerana penipuan. Selama ni pun bila menang lima negeri bukan main seronok, tak ada pun pertikai keputusan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya). (Datuk Seri) Anwar Ibrahim (ketua pembangkang) dalam Umno dan BN pun tak pernah pertikai SPR. Sekarang timbul seolah-olah mereka nak sediakan minda rakyat bahawa kalau BN menang dia menang kerana penipuan. Ini menafikan amalan demokrasi kita yang selama ini berjalan dengan baik.

Kita pun kali ini bersedia bawa beberapa pemerhati Asean untuk pantau pilihan raya ini supaya mereka akan lihat ia berjalan ikut Perlembagaan, undang-undang negara dan kesahihan keputusan rakyat tak boleh dipertikaikan.

Soalan: Atau pembangkang tak yakin mereka boleh menang?

Najib: Sebab itu saya kata dia menyediakan minda rakyat. 'Pre-emptive'. Ada juga orang kata bahawa kalau dia tak menang, dia nak tunjuk perasaan juga. Nak tunjuk pilihan raya kita tak telus dan tak adil. Segala-galanya boleh berlaku sebab mereka sangat obses, mabuk nak menguasai Putrajaya. Australia pun dah tolak (permintaan Anwar untuk memantau dan memerhati PRU-13).
    
Soalan: Ada kritikan yang berpendapat BN dan Umno tak cukup agresif walaupun berdepan ibu pilihan raya terutamanya dalam melawan pembangkang.
    
Najib: Kita dalam kerajaan. Apa pun kita buat ada batasnya. Pembangkang lain, dia tak ada sempadan termasuk nak lempar fitnah, beri fakta palsu dan sebagainya. Pembangkang boleh buat. Tapi kita dalam kerajaan kena ada rasa tanggungjawab dalam apa-apa yang kita nak lakukan, itu mungkin menggambarkan seolah-olah kita tak agresif.
    
Soalan: Apa yang Datuk Seri nak anggota Umno dan BN buat dari sekarang hingga pilihan raya? Apa mereka patut buat untuk menjamin kemenangan yang memuaskan?
    
Najib: Pertama sekali, mesti ada disiplin organisasi. Kalau kita nak pergi perang, bala tentera kita mesti tersusun dalam satu ikatan kepimpinan 'chain of command' yang mantap dan berdisiplin. Kena tahu apa dia arahan, pematuhan arahan, lakukan kerja dan sebagainya. Ini semua patut kita lakukan. Pengajaran kemenangan umat Islam dalam Perang Badar umpamanya, kekalahan dalam Perang Uhud, ini semua pengajaran dalam sejarah yang harus ada pada kita semua.

Kalau kita ada 'organisational discipline' saya percaya itu akan memberi kekuatan untuk kita, kekuatan yang amat besar. Sebab kita ada bilangan tapi kita mesti sulami dengan kekuatan disiplin organisasi yang saya nak tekankan, adalah amat penting.

Kalau kita tak disiplin termasuk dalam menerima apa-apa keputusan parti, keputusan calon dan sebagainya yang patut diterima atas kepentingan parti. Itu terangkum dalam 'organisational discipline'.
    
Soalan: Ada pendapat Umno sukar uruskan sebahagian Ketua Bahagian kerana dianggap sebagai 'warlord'. Bagaimana nak tangani perkata ini?

Najib: Itu termasuklah disiplin organisasi. Termasuk kita semua. Kalau kita tak terima arahan mengikut 'chain of command', maknanya kita dah melanggar disiplin dan akibatnya kita boleh kalah dalam perang. Dah terbukti dalam banyak sejarah. Saya sebut tadi Perang Badar, Uhud dan perang-perang lain. Juga peristiwa pilihan raya sebelum ini. Ada kawasan kita patut menang tapi kita kalah bila tiada disiplin organisasi.

Soalan: Sejauh mana disiplin dah bertambah baik sejak Datuk Seri menerajui Umno dan BN?
    
Najib: Mereka dah beri ikrar dan pengakuan. Tun Mahathir pun bantu, jumpa mereka, dah angkat tangan sumpah pengakuan. Dalam perhimpunan agung pun dah berikrar. Saya tak berupaya buat lebih daripada itu. Saya dah buat apa yang boleh saya buat. Jadi terserah kepada tubuh badan sendirilah. Kalau mereka tak langgar sumpah... saya tak tahulah. Itu terserah kepada mereka. Itu antara mereka dengan Tuhan.

Soalan: Jadi penubuhan Jawatankuasa Disiplin diharap sedikit sebanyak boleh membantu?
    
Najib: Sepatutnya kita tak perlu disiplinkan sesiapa. Yang saya nak tekankan adalah 'self-discipline'. Contohnya, kita tak perlu kepada AES (Sistem Penguatkuasaan Automatik) Bila kita tahu tempat itu ada 'speed limit', kita tak perlu kepada AES sebenarnya. Tapi kita terpaksa buat di sesetengah tempat sebab kita nak didik orang kita. Kalau kita disiplin, kita dapat selamatkan nyawa dan diri kita.

Dalam kes ini, maknanya kalau kita ada 'self-discipline' parti kita pasti capai kejayaan. Itulah yang patut kita utamakan sebab kalau kita menang kerusi kita tapi gagal bentuk kerajaan, tak ada makna. Maknanya kita jadi pembangkang. Kalau kita terkontang-kanting sebagai pembangkang, apa maknanya. Soal pilihan raya ini yang paling utama adalah kita nak bentuk kerajaan.
    
Soalan: Mengenai perpaduan Melayu dan Islam, akan berkait rapat dengan isu pilihan raya dan Umno. Sejak beberapa tahun ini Raja-raja Melayu telah muncul melahirkan kebimbangan mengenai perpaduan orang Melayu dan perpecahan di kalangan umat Islam. Adakah Datuk Seri berkongsi kebimbangan ini?
    
Najib: Memang kita semua bimbang atas perpecahan di kalangan umat Islam dan orang Melayu. Kita harap bahawa orang Melayu akan memberi sokongan kepada Umno dalam pilihan raya sebagai parti utama. Kalau kita dapat memperlihatkan Umno sebagai pilihan utama, Umno akan muncul sebagai parti yang terkuat dengan sendirinya. Perpaduan Melayu Islam bererti perpaduan di bawah naungan Umno dan sebagai parti utama. Tapi kita tak sampai mendoakan kehancuran PAS.
    
Soalan: Datuk Seri kecil hati tak?

Najib: Tak, buat apa nak kecil hati. Kita dah jangka macam-macam. Dulu dia panggil Mahathir sebagai Firaun. Semua itu biasa. Saya tidur malam tidur jendera (lena).
    
Soalan: Datuk Seri menyentuh soal disiplin. Lembaga disiplin buat tindakan kerana sabotaj. Mungkinkah cara menamakan calon lebih awal mampu mengatasi perkara ini. Apa pro dan kontra Umno menamakan calon awal?

Najib: Saya rasa tidak boleh terlalu awal, tidak boleh terlalu lambat juga. Jadi kita akan cari masa yang mungkin kita rasakan paling sesuai. Kalau kita umum awal pun tak ada jaminan juga tak akan berlaku (sabotaj). Kalau dalam nawaitu dia tak dapat terima, sampai bila pun dia tak terima juga. Kalau kita terlalu lewat mungkin sukar bagi kita nak buat sesuatu memulihkan keadaan.

Tapi kalau kita ada masa pun masih tak dapat jamin 100 peratus tak berlaku sabotaj, gunting dalam lipatan, duri dalam daging dan sebagainya. Ini semua kemungkinan yang boleh berlaku dalam pilihan raya kita. Dan ini kalau berlaku pun bukan kali pertama. Dulu-dulu pun ada tapi tak nampak sangat bila kita kuat.
 
Cuma bila keadaan kita menghadapi tsunami dulu, nak pulih daripada tsunami dan kita nak menang dan rampas balik negeri yang kita dah kalah... itu lebih sukar. Sebab mempertahankan negeri yang kita dah menang itu tak sesukar mana tapi kalau kita nak dapatkan balik negeri yang kita dah kalah beerti bahawa dalam kerangka minda kita tu kita mesti letakkan kemenangan itu sebagai satu objektif mutlak yang tidak boleh dipesongkan dengan mana-mana pertimbangan yang lain. Baru kita boleh jamin kemenangan kita.
    
Soalan: Apakah hukuman paling layak diberikan kepada pengkhianat ini?
 
Najib: Yalah, kita hukum macam mana pun, kita pecat daripada parti dia lari pada parti lain. Itu dah kita tengok beberapa orang. Tak payah kita pecat pun ada satu dua yang tak setia pada kita, dah terjun parti lain. Tapi mujur parti (Pakatan) lagi ramai masuk sebelah kita sebagai Bebas dan Umno. Tapi ada juga satu dua Umno yang tak setia pada kita.
    
Soalan: Perpaduan melayu, selalu 'equate' dengan ancaman kepada kaum lain. Boleh Datuk Seri jelaskan yang sebenarnya Umno bukan hendak bersatu kerana nak berdepan dengan kaum lain.

Najib: Perpaduan Melayu bukan bererti kita menentang kaum lain sebab saya dah kata tadi, kita mesti bawa kaum lain bersama kita. Ini semangat yang kita dah bawa sejak dulu lagi. Dari zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak. Kenapa kita nak ketepikan apa yang telah diasaskan oleh pemimpin-pemimpin pengasas kita? Kalau kita tak nak kerjasama kaum lain, Tunku takkan buat Perikatan, Tun Razak takkan buat BN tapi mereka buat sebab kita tahu kekuatan negara kita mesti berpaksi kepada kerjasama antara kaum. Itu kita mesti pegang.
    
Soalan: Pembangkang kata Umno rasis bila cakap pasal perpaduan Melayu.

Najib: Itu dia tuduh, kita tak rasis daripada dulu lagi. Cuma ada beberapa tindakan yang boleh timbulkan persepsi sedemikian. Patut kita betulkan dan kita akan lakukan. Saya lihat bila kita buat Gagasan 1Malaysia orang lebih faham bahawa negara kita ni negara di mana semua kaum mesti dapat manfaat daripada kepimpinan negara kita.
    
Soalan: PASdalam kempen-kempen dan ceramah mereka kebelakangan ini banyak menyebut 'pilih PAS sebagai alternatif berbanding Umno.'

Najib: Itu dia punya politiklah. Dia bukan soal agama, yang dia pentingkan dia nak sangat kuasa. Itu dalam kepala dia. Politik nombor satu. Sepatutnya dia letak ketinggian agama lebih dari segala-galanya. Kalau dia kata dia parti Islam maknanya tak ada yang lebih penting. Sebaliknya kita tengok permainan politik dia lebih dari agama, sebab tu dia berkawan dengan DAP, contohnya.

Soalan: Menyentuh sokongan golongan muda. Adakah ia dapat dilihat dengan penglibatan mereka dalam parti Umno melalui sayap Pemuda dan Puteri?

Najib: Kita gambarkan parti kita sebagai parti yang bersedia untuk membawa perubahan kepada negara. Bukan parti yang kaku atau terlalu konservatif sebab orang muda mahukan perubahan dan suka pembaharuan. Jadi, kita mesti tampilkan parti yang mampu membawa pembaharuan kepada negara. Sebab itu orang muda hari ini tak anggap mereka patut tolak Umno dan BN walaupun kita dah berkuasa secara berterusan.

Sekurang-kurangnya mereka lihat kita ini sebagai parti yang boleh membawa perubahan dan kemajuan dalam negara. Paling penting, masa depan mereka lebih terjamin di bawah kepimpinan Umno dan BN. Itu yang paling besar perhitungannya. Masa depan kita.

Kita tahu sebagai sebuah parti kita tak boleh bergantung kepada kejayaan-kejayaan kita selama ini. Sebagai orang muda, kebanyakan mereka lahir pasca merdeka. Dia tak tahu cerita lama dia baca dalam buku sejarah saja.

Jadi, sehebat mana pun kejayaan kita dulu, pada orang muda ini tak termasuk dalam buku dia. Yang mereka nak tengok masa kini dan akan datang. Sebab itu saya sebut kita mesti tampilkan Umno dan BN sebagai parti yang boleh jamin masa depan negara kita.

Soalan: Apa lagi cara untuk menarik orang muda menyertai atau terlibat dengan Umno kerana masih ada rungutan tentang birokrasi dalam parti?
    
Najib: Kita dah buat banyak program dan agenda yang boleh memikat orang Melayu dan orang muda untuk menyokong Umno dan BN. Kalau orang muda bersikap 'anti-establishment', meskipun kita boleh menangi 18 daripada 20 perwakilan pilihan raya kampus baru-baru ini. Kita juga telah buat Himpunan Hari Belia Putrajaya secara besar-besaran dan kita sedang buat banyak perkara termasuk perhubungan melalui media sosial.

Saya seorang yang sangat aktif dalam media sosial dan followers Twitter saya telah melebihi satu juta dan di Facebook telah melebihi 1.3 juta. Ini menunjukkan orang muda bersama-sama dan memang boleh tertarik untuk menyokong kita, dengan syarat kita guna wahana dan cara berkomunikasi dan 'engagement' yang sesuai dengan selera orang muda.  

Saya tak dapat nafikan kadang-kadang kemasukan mereka dalam Umno dan kemaraan mereka mencari tempat dalam Umno boleh menghadapi banyak rintangan. Tapi kita sedang memperbaiki keadaan ini seperti memberi peluang kepada mereka memohon secara langsung kepada ibu pejabat sekiranya permohonan mereka tidak dilayan oleh peringkat cawangan atau bahagian.

Dalam Bajet 2013, saya telah beri banyak tumpuan dan fokus kepada orang muda. Umpamanya bantuan-bantuan kita sekarang ini lebih inklusif seperti bantuan untuk orang-orang bujang di bawah BR1M dan rebet telefon bimbit (pintar) dan banyak lagi yang diberikan untuk orang-orang muda di bawah bajet kita.

Soalan: Rancangan Datuk Seri untuk masa depan.

Najib: Kita dah tahu apa kita buat selama ni. Kalau dalam masa empat tahun ini kita lihat apa kejayaan kita. Kalau dengan izin Allah, kalau dapat mandat kuat tentu kita akan buat dengan lebih hebat lagi, lebih gah, Insya-Allah.

Sebab kita ada kekuatan moral 'leadership'. Sebab kalau kita kaji teori prinsip kepimpinan, ia berpunca daripada dua. Satu formal, jawatan kita. Satu lagi kekuatan moral. Jadi kalau kita 'combine' dua-dua tentu kepimpinan kita akan lebih berkesan lagi.

Soalan: Menyentuh soal pilihan raya. Datuk Seri akan adakan tahun depan atau mahu biarkan Parlimen bubar sendiri?

Najib: Kalau bulan Disember tak ada 'election', tahun depanlah. Melainkan kita buat bulan Disember ini. Kalau hujan atau banjir, boleh naik sampan, naik bot.
    
Soalan: Pada petang 1 Disember hari Sabtu kelak, para perwakilan akan pulang ke kawasan masing-masing setelah berkampung di PWTC. Kepada mereka ini apakah nasihat yang Datuk Seri mahu berikan?
    
Najib: Saya berharap mereka akan dapat menghayati mesej yang diterapkan dalam perhimpunan pada kali ini dan dapat menterjemahkan dalam bentuk tindakan serta sikap masing-masing. Umpamanya, banyak penegasan akan dibuat tentang bagaimana mereka harus mendepani cabaran PRU-13 dan bagaimana kita harus meletakkan persediaan kita secara mantap, bukan sahaja dari segi persiapan secara fizikal maknanya bilik gerakan, bantuan material dan sebagainya, tetapi persediaan dari segi semangat dan sikap kita untuk meletakkan kemenangan pilihan raya sebagai yang perlu diutamakan, dan tidak apa-apa perhitungan yang lain meskipun sesuatu itu memang sangat dihajati oleh kita.

Kita nak pastikan parti menang, sebab tujuan utama ialah untuk membentuk kerajaan. Dan kerajaan adalah tempat sandaran kita pada masa ini dan masa akan datang.

Saya juga berharap mereka lebih masak dan lebih berkemampuan untuk menjawab isu-isu nasional dan tohmahan-tohmahan yang dihala kepada kita. Ahli parti mesti mampu untuk mengupas dan menjawab dan menangkis sebarang isu nasional.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.