Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Penganjur Himpunan Hijau membantah operasi kilang Lynas di Gebeng, Pahang, tidak memaklumkan kepada polis untuk mengadakan perhimpunan itu di kawasan Dataran Merdeka, kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Menurut Khalid penganjur himpunan itu juga gagal mendapatkan kebenaran  daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menggunakan Dataran Merdeka sebagai lokasi utama perhimpunan itu.

"Undang-undang jelas, mengkehendaki di bawah Akta Perhimpunan Aman ini, orang yang ingin mengadakan perhimpunan supaya dapatkan kebenaran tuan punya tempat, beri notis pada polis 10 hari sebelum perhimpunan berlangsung...Tapi mereka tidak.

"Kita dah hubungi penganjur, cuba berunding dengan mereka, tapi dia tak membalas," katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Kesedaran Jenayah anjuran bersama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan penduduk Subang Jaya di Petaling Jaya, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A. Thaiveegan, Naib Pengerusi MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye dan Yang Dipertua MPSJ Datuk Asmawi Kasbi.

Jelas Khalid perhimpunan tersebut yang mengkehendaki penyokongnya berjalan dari Kuantan ke ibu negara, adalah protes jalanan yang menyalahi undang-undang.

Ketika ditanya tindakan polis sekiranya penyokong anti-Lynas itu berdegil memasuki Dataran Merdeka, Khalid berkata semuanya bergantung kepada arahan dari pihak DBKL.

"Dataran Merdeka tu bukan tempat awam, dia ada tuan punyanya... sekarang ini bagi pihak polis, kita tunggulah, kita serah kepada DBKL dahulu, apa juga tindakan daripada DBKL.

"Jika mereka menyerahkan kepada kita (polis), kita akan ambil tindakan berdasarkan undang-undang yang ada," katanya.

Sementara itu, Khalid berkata sistem 'My Distress' iaitu isyarat kecemasan yang diperkenalkan Polis Selangor sejak Ogos tahun lepas akan diperluaskan ke seluruh negara berikutan kejayaannya mencegah jenayah.

"Insya-Allah program ini sedang diteliti oleh kerajaan untuk dilaksanakan secara serentak di seluruh negara tidak lama lagi," katanya.

Sistem MyDistress menggunakan aplikasi penghantaran isyarat kecemasan dengan menekan satu ikon pada telefon pintar dan dilengkapi dengan Sistem Pengesanan Global (GPS) yang akan membantu polis mengesan individu yang menghantar isyarat ke lokasi berkenaan.

- Bernama

ADS