Hujan lebat, tembok asrama kebajikan retak

Penghuni Rumah Kebajikan Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid) di Hulu Langat panik selepas tembok asrama itu retak dan membawa bersama banjir lumpur ketika hujan lebat, pada jam 3.30 petang semalam.

Presiden Perkid Masridzi Sat berkata kejadian di bahagian belakang asrama wanita itu telah dimaklumkan oleh isterinya yang ketika itu bersama empat orang penghuni berada di bahagian dapur, tiba-tiba terdengar bunyi runtuhan yang kuat.

"Selepas keluar untuk melihat keadaan, mereka dapati tembok asrama ini retak dan condong diikuti dengan banjir lumpur sehingga paras buku lali di bahagian dapur dan rumah kakitangan," katanya ketika ditemui di Hulu Langat semalam.

Beliau berkata keretakan itu dipercayai berpunca daripada bebanan sisa kerja membaik pulih longkang yang ditimbunkan di bahagian tembok asrama itu.

"Kontraktor buat kerja-kerja binaan, tetapi sisa bahan yang digunakan diletakkan di tepi tembok asrama ini. Dalam keadaan hujan lebat petang tadi, mungkin bebanan yang kuat menyebabkan keretakan ini," katanya.

Beliau berkata ini adalah kejadian kedua di asrama berkenaan dan kali ini dianggap serius kerana menyebabkan keretakan tembok.

"Kejadian pertama, berlaku pada Mac lepas tetapi ketika itu hanya banjir lumpur. Saya anggap kejadian kali ini serius kerana berlaku keretakan yang mungkin boleh menyebabkan kemalangan jiwa," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata kejadian itu melibatkan keretakan tanah di bahagian belakang asrama itu tidak melibatkan struktur bangunan.

Punca kejadian masih disiasat, katanya.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.