Pengerusi: Selcat akan bentang 5 laporan inkuiri

Sebanyak lima laporan siasatan awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) akan didedahkan kepada umum, kata Pengerusi Selcat Datuk Teng Chang Kim.

Katanya, laporan itu melibatkan rumusan hasil pendengaran Selcat mengenai perolehan, penggunaan dan pulangan pinjaman RM90.3 juta oleh PKPS Agro Industries Sdn Bhd (PAISB) daripada Kementerian Kewangan.

Ia turut melibatkan permohonan pembangunan tanah padang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor di Kelana Jaya dan Rancangan Tempatan Petaling Jaya 2 (RTPJ2) dan siasatan ke atas urusniaga perlombongan pasir Kumpulan Semesta Sdn Bhd.

"Turut didedahkan laporan siasatan mengenai laporan audit dalam Tahun 2010 berhubung pengurusan kewangan Yayasan Selangor dan kejadian banjir di Hulu Langat dan Klang Selatan," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Shah Alam, hari ini.

Katanya turut akan didedahkan kepada umum ialah penyata Jawatankuasa Pilihan mengenai Pejabat Daerah dan Tanah, pihak berkuasa tempatan serta laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negeri Selangor berdasarkan laporan Ketua Audit Negara 2010.

Teng yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor berkata pihaknya menyasarkan menerbitkan sejumlah 200 salinan untuk setiap laporan dan ia akan ditempatkan di perpustakaan dan Jabatan Negeri Selangor.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.