Terowong SMART ditutup tiga hari

Terowong SMART ditutup selama tiga hari mulai petang semalam bagi kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan akibat hujan lebat petang semalam.

Pihak Pusat Kawalan Motorway telah menjalankan prosedur menutup laluan trafik sejak 4.20 petang semalam dengan mengosongkan bahagian dua tingkat laluan trafik dalam terowong tersebut untuk operasi banjir, menurut kenyataan SMART hari ini.

Hujan lebat di ibu negara bermula pukul 3 petang hingga 7 malam semalam menyebabkan beberapa buah stesen hujan di Lembah Klang mencatatkan bacaan hujan yang luar biasa tinggi terutamanya di kawasan tadahan hulu Sungai Klang dan kawasan tadahan Sungai Ampang.

"Hujan lebat di kawasan tadahan SMART pula mengakibatkan paras air di pertemuan Sungai Klang/Sungai Ampang meningkat dan mengaktifkan operasi kawalan banjir SMART dengan bacaan paras air di sungai itu mencecah 39.2 meter.

"Lencongan air sungai Sungai Klang ke dalam Kolam Berembang dimulakan pada 3.49 petang dan mencatatkan bacaan tertinggi paras air di kolam itu melebihi 38 meter," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pukul 5.01 petang semalam, bacaan paras air tertinggi Sungai Klang di Jambatan Tun Perak berjaya dikawal ke paras 28.90 meter, paras kritikal di tebing Sungai Klang di Jambatan Tun Perak ialah 29.0 meter, manakala paras tebing Sungai Klang di Jambatan Tun Perak iaitu 30.24 meter.

"Kawasan yang berjaya diselamatkan adalah sekitar kawasan Jambatan Tun Perak dan Masjid Jamek", menurut kenyataan itu.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.