'Hanya tinggal 15 minggu lagi sebelum p'raya'

Seorang perwakilan Pemuda Umno hari ini berkata anggota parti hanya mempunyai masa kira-kira 15 minggu untuk bersiap sedia bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Cameron Highlands, Wan Azizi Ahmad berkata, presidennya Datuk Seri Najib Abdul Razak mengingatkan demikian dalam sesi taklimat tertutup bersama para perwakilan perhimpunan, semalam.

"Dari semalam kita mahu BN menang. Tapi percayalah dan bersetuju kalau saya katakan bahawa di peringkat cawangan dan bahagian ada perkara yang boleh mengalahkan BN.

"Jadi harapan saya, sepertimana yang dikata oleh presiden semalam, kita hanya ada lebih kurang dalam 15 minggu sahaja lagi untuk menghadapi PRU 13.

"Tolonglah pasukan pemantau turun segera. Jangan retorik sangat bahagian kita sudah selesa dan selamat. Tidak.

"Oleh itu sidang perwakilan, marilah sama-sama tadah tangan berdoa kepada Allah taala. Bukan untuk kehancuran parti orang lain tapi untuk pastikan parti kita terus kekal ke akhir zaman," kata Wan Azizi sambil membacakan doa.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Persidangan Pemuda Perhimpunan Agung Umno ke-66 di PWTC hari ini.

Selain itu, Wan Azizi turut berterima kasih terhadap kepimpinan Umno kerana menubuhkan pasukan pemerhati bagi mengawal tindak tanduk ahli parti di peringkat akar umbi.

"Terima kasih pimpinan yang tubuhkan pasukan pemantau. Tapi tak tahu benda ini (pasukan pemantau) dah berjalan ke belum. Sebagai ketua bahagian, mungkin tak dimaklumkan (bahawa) geng pemantau ini turun (memantau).

"Sebagai ketua, tolong tengok sikit kalau duit tak turun. Ini luahan hati seorang ketua pemuda bahagian. Bila tak buat kerja, salah siapa? Orang muda juga yang salah," katanya lagi.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.