Perhimpunan Umno: Amanat presiden fokus hadapi p'raya

Perhimpunan Agung Umno 2012 membuka tirainya secara rasmi hari ini dengan fokus kepada amanat Perdana Menteri yang juga Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai persediaan Umno memimpin Barisan Nasional (BN) menghadapi pilihan raya umum ke-13.
    
Kepimpinan Umno dijangka menekankan mesej perpaduan dan kesiapsiagaan di kalangan lebih tiga juta anggota Umno di samping meyakinkan rakyat bahawa Umno dan sekutunya dalam BN adalah pilihan terbaik dalam memacu negara ke arah masa depan yang lebih terjamin dan stabil.
    
Perhimpunan yang dihadiri 2,759 orang perwakilan akan berlangsung selama tiga hari di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra.
    
Najib sebelum ini menekankan peri pentingnya setiap anggota Umno patuh dan berpegang kepada disiplin keorganisasian ekoran prestasi merosot BN dalam pilihan raya umum 2008.
    
Majlis perasmian bermula sekitar 9 pagi dengan ketibaan Najib yang kemudiannya memeriksa barisan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri sebelum menaikkan Bendera Umno, Sang Saka Bangsa.
    
Selain ucapan dasar Presiden, perwakilan juga akan membahaskan usul mengenai ekonomi, agama dan pendidikan.
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.