Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini memperkenalkan khidmat pesanan ringkas (SMS) Sistem Tinjauan Kepuasan Pelanggan (STKP) bagi mengukur prestasi perkhidmatan pasukan itu kepada masyarakat.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata menerusi SMS itu, orang ramai boleh memberikan tahap perkhidmatan PDRM sama ada 1 untuk sangat memuaskan 2 (memuaskan), 3 (kurang memuaskan) dan 4 (sangat tidak memuaskan) bagi semua balai dan kontinjen polis di seluruh negara.

Beliau berkata melalui sistem itu, PDRM dapat mengenal pasti kekurangan, khususnya di bahagian perkhidmatan kaunter.

    

"Sebagai contoh, anggota yang mengambil laporan harus melayan (pelanggan) dengan mesra, tidak kasar dan bersimpati dengan orang ramai. Jadi, jika masyarakat tidak berpuas hati dengan perkhidmatan, mereka boleh menilai dan pihak polis boleh memperbaik," katanya pada sidang media selepas melancarkan SMS Tinjauan Kepuasan Pelanggan di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi di ibunegara.

   

Ismail berkata sistem itu diperkenalkan berikutan kejayaan penggunaan 165 kiosk penilaian STKP di 82 balai polis di Selangor tahun lepas.

SMS STKP dilaksanakan dengan kerjasama Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (Pemandu), Kementerian Dalam Negeri dan akan dikendali sepenuhnya oleh PDRM.

Beliau berkata orang ramai boleh menghantar SMS dengan menaip PDRM jarak nombor laporan polis (berkaitan perkhidmatan membuat laporan polis) jarak rating dan hantar ke 15888.

    

Terdahulu, dalam ucapannya Ismail berkata kaedah baharu itu memudahkan proses pengadu membuat penilaian mengikut kesesuaian masa mereka.

Pada majlis itu, Pengarah Pengurusan PDRM Bukit Aman Datuk Mortadza Nazarene dalam ucapannya berkata dari Januari hingga Oktober tahun ini, PDRM menerima makluman balas yang sangat positif daripada pelanggan jabatan itu.

    

Analisis yang dijalankan mendapati berdasarkan empat kategori penilaian itu, sebanyak 90.16 peratus pelanggan memberi skor 'sangat memuaskan' manakala 9.67 peratus bagi skor 'memuaskan'.

    

- Bernama

ADS