Penahanan tak sah, polis, k'jaan diperintah bayar gantirugi

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan polis dan kerajaan Malaysia membayar gantirugi sebanyak RM200,000 dan RM300,000
masing-masing kepada dua remaja setelah mendapati tangkapan dan penahanan mereka empat tahun lepas adalah tidak sah dan tidak mengikut undang-undang.

Pesuruhjaya Kehakiman Rosilah Yop dalam penghakimannya berkata defendan pertama Sjn/Major Abdul Manaf Jusoh telah membuat geledahan secara tidak sah di mana Mohammad Shafiq Abdullah dan Muhammad Hafiz Saman masing-masing berumur 17 dan 18 tahun (ketika kejadian) yang bekerja sebagai mekanik di sebuah kedai membaiki motosikal pada 21 Mei 2008.

Rosilah juga berkata Abdul Manaf bersalah dalam mengesyaki kedua-kedua plaintif mencuri komponen motosikal dan di mana beliau telah merampas komponen-komponen motosikal daripada mereka.
    
Rosilah juga membenarkan tuntutan kos perubatan dan kecederaan yang dialami oleh mereka akibat dipukul oleh Abdul Manaf dan anggota polis yang lain.
    
Mohammad Shafiq and Muhammad Hafiz yang kini berusia 21 dan 22 tahun, telah memfailkan saman tersebut pada 2 Julai 2008, melalui pejabat peguam tetuan Shukor Baljit & Partners.
    
Mereka menamakan Abdul Manaf sebagai defendan pertama dan diikuti oleh Ketua Balai Polis Pandah Indah, Ketua Polis Negeri Selangor dan kerajaan Malaysia sebagai tiga defendan yang lain.
    
Dalam pernyataan tuntutannya, mereka mendakwa satu pasukan polis yang diketuai oleh Abdul Manaf dan enam anggota polis daripada Balai Polis Pandan Indah pada 21 Mei 2008, telah menahan mereka ketika sedang bekerja di sebuah kedai membaiki motosikal.  
    
Mereka seterusnya mendakwa mereka telah dibawa ke balai polis dan telah disoalsiasat tanpa diberikan sebarang alasan penahanan.
    
Selain itu, mereka juga mendakwa Abdul Manaf serta dua orang anggota polis yang tidak dikenali telah memukul mereka sehingga mengalami lebam di beberapa bahagian badan serta kecederaan dalaman.
    
Akibat daripada itu, mereka telah mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).
    
Kedua-dua mereka dalam tuntutannya telah meminta mahkamah untuk mengeluarkan satu deklarasi bahawa penggeledahan dan penahanan pada 21 Mei 2008 itu adalah tidak sah dan tidak mengikut undang-undang.
    
Selain meminta gantirugi am di atas penahanan yang tidak sah, mereka juga menuntut gantirugi akibat kesakitan dan kesengsaraan fizikal serta kesakitan dan kesengsaraan mental.
    
Kedua-dua mereka diwakili oleh peguam Datuk Baljit Singh Sidhu, sementara Peguam Kanan Persekutuan Khairul Nizam Mohd Kamal mewakili kesemua empat defendan.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.