VP Umno: Isu bekas IGP, Deepak untuk alih tumpuan

Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata dakwaan baru oleh bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan dan ahli perniagaan Deepak Jaikishan merupakan usaha untuk mengalihkan tumpuan daripada perhimpunan agung Umno yang sedang berlangsung.

Katanya, isu berkenaan timbul ketika persidangan Umno berjalan dengan lancar dalam persediaan parti untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Jadi sekiranya ada mana-mana pihak yang nak cuba mengalihkan pandangan kita dengan isu sampingan, saya rasa bukan saja ahli Umno tapi saya harap orang ramai pun jangan terkeliru kerana ada pertimbangan lain dalam pemikiran dan juga agenda mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan yang ditimbulkan Deepak dan Musa ke atas pemimpin Umno.

Musa mendakwa Hishammuddin campurtangan dalam pasukan polis semasa PDRM berada bawah pimpinannya.

Deepak pula, yang berenggang dengan keluarga perdana menteri, mendakwa beliau membayar keluarga Datuk Seri Najib Abdul Razak sejumlah yang tidak didedahkan untuk campurtangan perdana menteri bagi membolehkannya menjadi satu pihak dalam satu perjanjian projek Kementerian Pertahanan.

Ditanya mengenai dakwaan Musa, menteri dalam negeri itu berkata perkara itu telahpun dibangkitkan dan dijawab sebelum ini, dan seterusnya mempertikaikan mengapa perkara itu ditimbulkan pada masa ini.

"Anda boleh lihat semula apa yang dijawab sebelum ini kerana ia melibatkan isu sama. Jika anda lihat pada jawapan saya di Parlimen dan apa yang dijelaskan menteri dalam negeri dan IGP, ia kekal begitu," katanya.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah dua lagi naib presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan juga Datuk Seri Shafie Apdal.

Ahmad Zahid enggan mengulas ketika ditanya mengenai dakwaan Deepak berhubung sumbangan kepada Najib ketika Najib menjadi menteri pertahanan.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.