Lapan pembahas lagi bentang hujah hari ini

Perhimpunan Agung Umno 2012 yang masuk hari kedua hari ini diteruskan sambungan sesi perbahasan usul Ucapan Dasar
Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak.
    
Lapan pembahas dijadual membentangkan hujah masing-masing termasuk wakil Puteri dan Kelab Umno Luar Negara.
    
Sesi perbahasan akan disusuli dengan pembentangan usul ekonomi serta agama dan pendidikan. Dua usul ini akan dibahaskan oleh 28 wakil negeri-negeri dan pergerakan.
    
Sesi perbahasan pada perhimpunan agung kali ini, yang merupakan terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13, didominasi kata-kata dorongan dan semangat untuk seluruh jentera Umno berdepan ujian getir pilihan raya yang bakal
menentukan kelangsungan parti terbesar Melayu ini.
    
Rata-rata pembahas semalam memperkukuh ikrar taat setia kepada parti dan berazam tidak akan menggadai maruah parti demi kehendak peribadi, selain mengasak pihak lawan, khususnya Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang
menurut mereka sanggup melakukan apa sahaja, termasuk menjual negara demi mencapai cita-cita ke Putrajaya.
    
Perhimpunan ini bermula dengan perasmian serentak persidangan tiga sayap Umno iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Timbalan Presiden Umno, pada Selasa malam.
    
Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan Perhimpunan Agung Umno kali ke-66 itu semalam.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.