Keuntungan sebelum cukai FGV susut kepada RM900j

Harga minyak sawit mentah (MSM) dan pengeluaran yang rendah menyebabkan Felda Global Ventures Holdings  Bhd mencatatkan penyusutan keuntungan sebelum cukai kepada RM900 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2012 berbanding RM1.5 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.
    
Bagaimanapun, pendapatannya meningkat 61.9 peratus kepada RM9 bilion berbanding RM5.58 bilion, kata syarikat itu, yang disenaraikan di Bursa Malaysia pada 28 Jun, dalam satu kenyataan hari ini.
    
Bagi suku ketiga, FGV juga mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat yang lebih rendah sebanyak RM318.7 juta daripada RM544.64 juta ekoran perolehan sebanyak RM3.8 bilion berbanding RM1.877 bilion.
    
FGV menjelaskan bahawa antara faktor-faktor penyumbang kepada penyusutan keuntungan suku ketiganya ialah kejatuhan harga MSM kepada RM3,330 setan metrik pada 2011 dan kepada RM3,107 pada 2012, penyusutan pengeluaran buah segar sebanyak 365,326 tan metrik dan kemerosotan sumbangan daripada syarikat sekutu
sebanyak 13.7 peratus.
    
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Group, Datuk Sabri Ahmad, berkata perbandingan sukuan atas dasar tahun ke tahun tidak akan menghasilkan penilaian adil tentang prestasi FGV kerana model perniagaannya telah berubah.
    
"Tahun lepas, kami menggunakan model perniagaan yang lain. Kita tidak membandingkan benda yang sama," katanya pada satu taklimat media mengenai keputusan kewangan FGV hari ini.
    
Sabri berkata pada 1 Januari 2012, FGV menandatangani Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) dengan Felda yang melibatkan 347,584 hektar tanah Felda.
    
Ini telah menyebabkan perubahan pada nilai patut dalam liabiliti LLA, yang diambil kira dalam Penyata Pendapatan, kata Sabri.
    
"Ekoran penyepaduan nilai penuh tanah ladang itu, FGV menanggung bayaran berulang bagi pajakan tanah kepada Felda mulai 2012 dan kini menanggung semua kos berhubung penggunaan baja dan penanaman semula ladang-ladang ini," tegasnya.
    
Mengenai keputusan, Sabri berkata prestasi FGV amat menggalakkan, memandangkan keadaan industri sawit sekarang.
    
"Seperti juga peserta-peserta industri lain, kami terjejas oleh harga komoditi yang rendah. Bagaimanapun, struktur kami sebagai peserta minyak sawit bersepadu sepenuhnya memberikan kami kelonggaran untuk bertindak balas kepada perubahan-perubahan pasaran jangka pendek," katanya.
    
Seiringan dengan arah aliran umum industri, kumpulan ini mencatatkan harga MSM yang lebih rendah pada RM3,107 setan metrik tahun ini berbanding RM3,330 setan metrik tahun lepas.
    
Pengeluaran tandan buah segar (FFB) juga merosot sebanyak 365,326 tan metrik kepada 3.47 juta tan metrik berbanding 3.83 juta tan metrik pada 2011.
    
Sabri berkata faktor penyumbang yang lain ialah penyusutan sumbangan syarikat sekutu sebanyak 13.7 peratus, perubahan nilai patut liabiliti LLA sebanyak RM235.7 juta dan caj tidak berulang berhubung dengan perbelanjaan tawaran awam awal (IPO) sebanyak RM41.5 juta.

Dalam satu perkembangan berkaitan, Sabri berkata FGV akan memulakan rancangan strategik lapan tahun untuk meningkatkan perolehan perniagaan sebanyak lapan kali ganda dalam masa lapan tahun, meskipun harga MSM berada dalam arah aliran menyusut dan pengeluaran berkurangan disebabkan oleh keadaan cuaca.
    
"Ini bererti, contohnya, jika kami mencatatkan pendapatan sebanyak RM1 bilion bagi tahun ini, menjelang tahun fiskal berakhir 31 Disember 2020 kami menyasarkan RM8 bilion.
    
"Kami telah mengambil perunding terkenal untuk melakukannya. Peningkatan pendapatan sebanyak lapan kali ganda itu diharapkan dapat menghasilkan keuntungan dan perolehan sesaham," tegasnya.
    
Sabri juga berkata FGV menjangka untuk membesarkan perniagaan perladangannya dengan membeli lebih banyak tanah untuk simpanan selain meningkatkan produktiviti dan kecekapan aset semasa.
    
Dengan tumpuan kepada rantau Asean dan Afrika Barat, katanya, peluasan yang akan dilaksanakan tahun depan ialah di Myanmar dan Indonesia.
    
Di Indonesia, FGV telah mula menanam sawit di kawasan seluas 15,000 hektar di Kalimantan Barat dan menjelang tahun depan, syarikat itu akan mengkaji kawasan-kawasan lama dalam kawasan yang sama, mungkin kira-kira 30,000 hektar, katanya.
    
Sabri berkata FGV berminat untuk meneroka peluang di Mindanao di selatan Filipina tetapi menunggu rundingan perdamaian selesai.
    
Beliau juga berkata syarikat itu mempunyai struktur sistematik untuk meluluskan pelaburan dan pelupusan, dengan prosedur lima peringkat yang ketat.
    
"Kami perlu meneliti risikonya, kesesuaian strategi, keuntungan dan kemampanan sebelum mengambil sebarang langkah pembelian atau pelupusan," tegasnya.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.