Saksi: Kugan suspek 'istimewa' dalam kes curi kereta mewah

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa A.Kugan yang meninggal dunia di dalam lokap pada 2009 merupakan suspek 'istimewa' dalam siasatan kes curi kereta.
    
Pegawai Penyiasat Insp Faaezal Monir, 31 berkata Kugan perlu disiasat untuk tempoh 24 jam kerana ketika tangkapan dia memiliki dua kereta mewah.
    
Faaezal yang disoal balas oleh peguam R. Sivarasa dalam perbicaraan kes saman kecuaian yang difailkan ibu Kugan, N. Indra turut memberitahu bahawa Kugan berada dalam keadaan baik ketika berjumpa dengannya pada 16 hingga 19 Januari 2009.
    
Beliau berkata kenyataannya itu bukanlah suatu pembohongan dan Kugan sendiri tidak pernah membuat aduan mengenai masalah makanan ataupun dipukul.
    
Ditanya Sivarasa sama ada beliau pasti Kugan berada dalam keadaan baik sedangkan hasil bedah siasat mendapati terdapat 45 kesan luka luaran, Faaezal berkata: "Ya, dia berada dalam keadaan baik."

Hakim Datuk V.T Singham yang mendengar kes itu turut menanyakan soalan yang sama kepada Faaezal dan berkata sekiranya dalam keadaan baik, bagaimanakah 45 kesan luka itu berada pada badan si mati.
    
Faaezal menyatakan bahawa beliau tidak pasti dan tidak nampak kesan luka tersebut. Sebelum ini mahkamah telah ditunjukkan video dan gambar Kugan yang luka pada muka, badan, lengan dan kaki.
    
Menerusi pernyataan saksi, Faaezal berkata bahawa sepanjang penyiasatan Kugan telah memberi kerjasama yang memuaskan dan beliau tidak dimaklumkan oleh anggota bawahan bahawa Kugan telah dipukul atau dicederakan.

Pada 13 Januari lalu, Indra memfailkan saman dengan menamakan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebagai defendan pertama, bekas anggota polis V. Navindran (yang didapati bersalah mengakibatkan kecederaan kepada Kugan) sebagai defendan kedua, diikuti bekas Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Zainal Rashid Abu Bakar, Ketua Polis Negara dan kerajaan.
    
Dalam pernyataan tuntutannya, Indra mendakwa kesemua defendan gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan anaknya semasa dia dalam tahanan polis dari 14 hingga 20 Januari 2009.
    
Ketika ditahan, Kugan berusia 23 tahun dan merupakan suspek kes curi kereta mewah.
    
Hakim Singham menetapkan 13 Disember untuk menyambung perbicaraan.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.