Wakil Sabah bawa kisah kelahi kucing, anjing

Perwakilan Kimanis Datuk Arifin Mohd Arif hari ini mencuitkan hati para perwakilan di Dewan Merdeka apabila menimbulkan kisah pergaduhan kucing dan anjing sebagai peringatan kepada perwakilan khususnya akar umbi di Sabah.

Berucap membahaskan usul agama dan pendidikan, beliau menceritakan mengenai amanat Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman yang menggesa ahli Umno di negeri itu supaya saling "tidak bersengketa sesama sendiri dan sentiasa bermusyawarah".

"Kalau saf kita renggang, iblis yang menjadi musuh di tengah-tengahnya... Kita jangan bergeser dan sengketa.

"Apabila kucing dengan kucing bergaduh, apabila anjing datang, masih lagi bergaduh, memang sah salah seekor kucing bersekongkol dengan anjing," katanya.

Kata-kata itu mengundang gelak ketawa perwakilan yang menggamatkan termasuk Pengerusi Tetap Tan Sri Badruddin Amiruddin.

"Sebab itu, kita akan pastikan simpanan tetap BN, tetap diteruskan. Ini jaminan kita kepada YAB Presiden. Ini janji kita kepada saudara kita di Semenanjung," kata Ariffin lagi.

Beliau kemudiannya menyindir pembangkang yang dianggapnya sebagai "ayam jantan buta" dan menggesa supaya semua pihak tidak mendengar apa yang dinyatakan.

"Kumpulan pembangkang ini seperti ayam jantan yang buta. Pagi berkokok, tengahari berkokok, petang berkokok, dan malam berkokok.

"Tapi bahayanya, mereka tidak tahu mana ayam jantan, mana ayam betina. Mereka tak tahu mana hak, mana yang batil, mana yang bersih, mana yang kotor," katanya sambil diiringi ketawa para perwakilan termasuk hadirin di luar dewan.

Selain itu, Arifin juga menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan undang-undang terhadap "puak-puak" yang menyokong pluralisme.

Bahkan, tindakan yang diambil tidak dibuat umpama "tarian poco-poco" yang mana tindakan tegas itu tidak seperti tarian itu "selangkah ke depan, selangkah ke belakang, dua langkah ke depan, dua langkah ke belakang".

"Jangan buat tindakan tarian poco-poco. Tindakan mesti tegas, tidak boleh berundur. Tidak boleh (toleh) ke belakang," katanya.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.