Dua rakan karib disemadi dalam satu liang lahad

Seorang kanak-kanak cuba untuk membantu kawannya yang tergelincir ke dalam sungai, namun dia sendiri turut dihanyut arus deras Sungai Durian di Kuala Krai petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, Muhammad Zarrin Mohd Amin, 8, dikatakan cuba untuk membantu rakannya Muhammad Abdul Latif Alias, 6, yang tergelincir ke dalam sungai.

Namun kedua-duanya dihanyut arus deras.

Kedua-duanya sempat diselamatkan penduduk kampung kira-kira 30 meter daripada tempat kejadian dan dikejarkan ke Hospital Kuala Krai, bagaimanapun mereka meninggal dunia pada 7 malam.

Adik kepada Muhammad Zarrin, Muhammad Qiamuddin, 6, yang melihat kejadian itu berkata abangnya cuba untuk membantu Muhammad Abdul Latif yang terjatuh ke dalam sungai, namun abangnya juga dihanyut arus deras.

"Zarrin nak tolong bila Latif jatuh, tetapi dia hanyut juga. Bila nampak dua-dua hanyut, saya terus berlari ke kawasan pondok (tempat berehat) untuk minta tolong," katanya.

Jenazah dua rakan karib yang tinggal berjiran itu dikebumikan di dalam satu liang lahad di tanah perkuburan Pondok Sungai Durian kira-kira 9.30 pagi tadi.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.