PRU13: Puteri janji komitmen luar biasa

Puteri Umno hari ini berikrar untuk mengabadikan seluruh kekuatan jentera pergerakan itu berjuang bersama sayap-sayap parti untuk memastikan Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan selesa dalam pilihan raya umum ke-13.
    
Ketua Pergerakan itu Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata Puteri akan menyumbang segenap daya dan komitmen luar biasa serta berada di saf paling hadapan berjuang bersama Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak.
    
"Kepada ayahanda presiden, kalau ditanya kepada Puteri, apa ertinya Puteri di sisi parti? Puteri berikrar untuk ketepikan kepentingan peribadi.
    
"Kepada ayahanda timbalan presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin), kalau ditanya apa makna setia? Setianya Puteri hingga sanggup bergadai jiwa, berkorban harta dan nyawa untuk bangsa dan agama," katanya ketika menggulung perbahasan pada
Perhimpunan Agung Umno 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
    
Rosnah juga memberi jaminan kepada kekanda wanita dan barisan juang Pemuda bahawa sayap paling bongsu itu akan berdiri setia bersama dalam mendepani gerombolan musuh pada pilihan raya umum itu nanti.
    
Dalam pada itu, beliau turut mengibaratkan bangsa Melayu seperti sebuah rumah, di mana Umno adalah penukangnya dan semua penghuni tanpa mengira kaum dan agama serta fahaman politik dijaga dengan penuh rasa amanah dan tanggungjawab.
    
Walaupun Umno dikritik, difitnah, dihina, ditohmah, tetapi parti itu tidak pernah jemu memperjuangkan politik bangsa, katanya.
    
"Kami tidak berjuang semata-mata kerana cerita sejarah tentang siapa kami, tetapi, kami berjuang kerana tanggungjawab untuk mengisi dan mempertahankannya,"
katanya.
    
Rosnah juga berkata negara tidak boleh memisahkan politik dan generasi muda, kerana ketamadunan sebuah bangsa bersendikan kepada daya gerak politik anak-anak
muda.
    
Bagi tujuan itu, katanya Puteri akan terus mendekati golongan muda dan menjejaki kelompok pengundi kali pertama supaya wadah yang diperjuangkan parti dirasai oleh mereka.
    
Dalam pada itu, Puteri juga akan berusaha untuk mentransformasikan politik persepsi yang dimainkan oleh pembangkang kepada politik menilai dan mengkaji selain akan menentang sebarang ancaman kepada kesucian aqidah Islam.
    
"Mereka (pembangkang) ini kononnya maksum politik. Apa yang keluar dari mulut mereka, menjadi sabda politik pengikut yang buta. Walhal merekalah petualang, yang menggunakan agama untuk kepentingan politik songsang," katanya.
    
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom ketika menggulung usul agama berkata Majlis Kebangsaan Islam dan Kabinet telah meluluskan proses menaiktaraf Jabatan Kehakiman Syariah dari tiga peringkat
(mahkamah rendah syariah, mahkamah tinggi syariah dan mahkamah rayuan syariah) kepada lima tidak lama lagi.
    
Anggota Majlis Tertinggi Umno itu bagaimanapun berkata usaha menaiktaraf itu sedang menunggu kelulusan Majlis Raja-Raja sebelum dapat dilaksanakan.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.