Najib: 'Saya khuatir sikit soal kita sesama kita'

Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak tidak dapat menyembunyikan kekhuatiran terhadap kemungkinan 'tindak balas' dari anggota yang tidak terpilih sebagai calon dalam pilihan raya umum akan datang.

Walau percaya bahawa sokongan umum akan memihak kepada BN, Najib tetap bimbang bahawa beliau akan menghadapi tindakan sedemikian daripada pemimpin Umno yang tidak dipilih sebagai calon.

"Saya percaya musuh kita tidak kuat... saya yakin orang ramai akan memihak kepada BN... yang saya khuatir satu sahaja.... sikit sahaja.. soal kita sesama kita," tegasnya dalam ucapan penggulungannya di perhimpunan agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang ini.

Sepertimana dalam perhimpunan terdahulu, Najib turut meminta perwakilan membacakan ikrar agar taat kepada parti serta bekerja demi kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang.

Tapi bezanya para perwakilan kali ini diminta menjawab soalan cepu emasnya – sama ada akan menyokong calon pilihan Umno sekiranya mereka sendiri tidak terpilih.

"Saya beri lima kemungkinan. Pertama sokong sepenuhnya calon yang dipilih parti; kedua, sokong; ketiga, tidak bekerja; keempat, sabotaj dan kelima lompat parti," katanya.

Tambahnya, soalan berkenan lebih penting untuk dijawab daripada kajian yang menunjukkan sokongan besar pada BN - seperti dikemukakan naib presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelumnya.

"Sebab itu dalam perhimpunan ini kita mesti kata kita mesti dengan suara yang cukup hebat bahawa jawapan yang kita hendak 'adalah saya tetap akan sokong BN'," kata Najib yang disambut laungan "Boleh" sebanyak tiga kali oleh para perwakilan.

"Kalau itu jawapannya yang sebenarnya dalam hati kita, Insya-Allah, akan memberi kemenangan kepada Umno dan BN (dalam pilihan raya umum)," tambahnya.

Najib seterusnya meminta para perwakilan membawa soalan itu pulang untuk difikir secara mendalam dan mengawasi golongan penghasut - yang digelarkan "tukang kipas dan "batu ronson" di dalam parti.

"..dalam kereta, dalam bas ekspres, cuba tepuk dada tanya selera... Kita nak bawa semangat ini, kita nak menghayati semangat ini, (apabila) kita nak jumpa penyokong kita bila balik," katanya.

Sekiranya ahli berkenaan tidak kuat iman, "sokongan penuh" kepada calon berkenaan mungkin akan menyebabkan mereka berubah pandangan sehingga melakukan sabotaj ke atas parti, kata Najib.

"Jangan lupa ada juga bekas menteri, bekas timbalan menteri yang telah mengkhianati parti... kerana gila jawatan, kerana dirasuk orang tertentu sekarang jadi orang yang menentang Umno dan BN," katanya.

VIDEO l 4.52 min

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.