Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Johor dan Negeri Sembilan antara tiga negeri yang kembali dilanda banjir dengan merekodkan jumlah mangsa sehingga pagi ini seramai 150 orang termasuk mangsa di Selangor.

    

Menurut laman portal banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN), Negeri Sembilan merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 71 orang melibatkan 27 keluarga diikuti dengan Selangor 58 orang melibatkan 17 keluarga manakala di Johor seramai 21 orang melibatkan enam keluarga.

    

Portal MKN turut melaporkan banjir di Negeri Sembilan melibatkan kawasan di Kampung Jimah Lama, Port Dickson dengan sebuah pusat pemindahan dibuka di Sekolah Rendah Kebangsaan Jimah Lama.

    

Di Selangor banjir melibatkan kawasan di Jalan Kebun dan Bukit Changgang, Kuala Langat dan sebuah pusat pemindahan dibuka di Dewan Genting Sanyen, Kuala Langat manakala di Johor melibatkan banjir di kawasan Kampung Spang Loi dan

Kampung Awat, Segamat dengan sebuah pusat pemindahan dibuka di Balai Raya masing-masing, menurut portal itu.

    

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meminta penduduk di beberapa kawasan di Perak, Negeri Sembilan, Johor, Pahang berjaga-jaga berikutan bacaan paras air sungai melebihi aras amaran.

    

Kawasan terbabit ialah sekitar Sungai Plus di Kampung Lintang, Kuala Kangsar di Perak, Sungai Rembau di Titian Bintangor, Rembau di Negeri Sembilan, Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat di Johor, Empangan Repas, Bentong dan Sungai Triang di Triang, Bera di Pahang.

    

Setakat 9.30 pagi ini, bacaan Sungai Plus di Kampung Lintang, Kuala Kangsar 54.53 meter, Sungai Rembau di Titian Bintangor, Rembau 6.53 meter, Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat 8.77 meter, Empangan Repas, Bentong dan Sungai Triang di Triang, Bera mencatat 113.67 meter dan 34.10 meter iaitu masing-masing telah melebihi aras amaran.

- Bernama

ADS