Ibubapa Orang Asli buat laporan 'cubaan rasuah'

Sudah lebih sebulan sejak anak-anak perempuan mereka yang berusia 12 tahun, ditampar oleh seorang guru kerana tidak membaca doa.

Bagaimanapun, kekurangan tindakan yang diambil, mendorong tiga bapa Orang Asli mengambil masa tiga jam perjalanan dari pedalaman Kelantan hari ini untuk membuat satu lagi laporan polis.

Kali ini, laporan itu bukan sahaja terhadap guru SK Bihai yang menampar anak-anak mereka, tetapi juga terhadap beberapa rakannya, kerana didakwa cuba merasuah ibubapa terbabit supaya menarik balik laporan awal mereka yang dibuat pada 24 Oktober 2012 di balai polis Gua Musang.

Menurut laporan polis terbaru itu yang dibaca kepada Malaysiakini oleh Timbalan Pengerusi Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) SK Bihai, Arom Asir, mereka membuat laporan tersebut untuk meluahkan rasa tidak puas hati mereka.

Along Pandak, Hassan Achoi dan Atar Pedik, dalam laporan mereka, mendakwa percubaan merasuah itu berlaku pada 7 November dalam satu mesyuarat PIBG.

Mereka mendakwa, para guru berkata jika mereka menarik balik laporan itu, mereka (guru-guru) akan membayar RM250 setiap pelajar, manakala guru yang menampar mereka (nama dirahsiakan) akan menambah RM50 menjadikannya berjumlah RM300 bagi setiap pelajar.

NONEMenurut laporan itu lagi, mereka jelas tidak puas hati
dengannya kerana pihak sekolah, dalam insiden menampar pelajar-pelajar tersebut, telah melanggar Seksyen 17 Akta Orang Asli.

Seksyen 17 Akta tersebut menyatakan bahawa kanak-kanak Orang Asli tidak boleh menerima arahan mengenai agama kecuali dengan persetujuan ibubapa mereka, dan dalam kes ini, mereka mendakwa tidak dirujuk. Kesemua pelajar terbabit bukan beragama Islam.

Menurut Arom, guru-guru berkenaan sebelum itu berkata mereka akan membawa ibubapa terbabit ke balai polis Gua Musang pada 19 November untuk membuat satu lagi laporan polis bagi menarik balik laporan awal mereka, tetapi ibubapa berkenaan menolaknya.

"Guru-guru tersebut telah memohon maaf, merayu kepada ibubapa tersebut dan menggesa mereka supaya menerima tawaran itu.

"Kami memutuskan untuk tidak menghubungi guru-guru berkenaan sejak itu kerana kita tahu mereka akan terus mendesak kami mengenai perkara itu," katanya ketika dihubungi.

mca youth agm 201012 wee ka siong 03Bulan lepas, di Dewan Rakyat, Timbalan Menteri Pelajaran,
Datuk Wee Ka Siong telah mengesahkan kejadian itu dan berkata tindakan sedang 'diambil'.

"Tidak nampak apa-apa tindakan telah diambil, tetapi ini cuti sekolah, jadi kita hanya akan tahu jika guru yang terlibat masih mengajar di SK Bihai apabila penggal persekolahan bermula nanti," kata Arom.

Arom juga berkata, ibubapa berkenaan akan menurut nasihat Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Puad Zarkashi supaya mereka membuat aduan mengenai percubaan merasuah itu  kepada pejabat pendidikan daerah.

"Kami akan berbuat demikian, walaupun saya percaya mereka sudah pun tahu mengenai perkara ini," katanya.

Malaysiakini sejak bulan lepas berulang kali cuba untuk menghubungi sekolah berkenaan, manakala SMS yang dihantar pula tidak terjawab.

SK Bihai, sebuah sekolah ekslusif untuk anak Orang Asli, terletak berhampiran sempadan Kelantan-Perak, dan tidak mempunyai liputan telefon bimbit.

Satu-satunya nombor telefon yang disenaraikan untuk sekolah tersebut, disambung terus kepada pejabat pendidikan daerah Gua Musang, yang juga menerima surat-surat bagi pihak sekolah tersebut.

[Baca berita penuh]

1. 'Murid Orang Asli ditampar tak baca doa makan'

2. Keluarga Orang Asli ditawar wang agar tarik balik laporan

 

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.