MAS tawar diskaun tambang hingga 45 peratus

Malaysia Airlines (MAS) menawar tambang menarik menerusi Jualan Akhir Tahun (YES) dari 3 hingga 17 Disember ini untuk perjalanan antara 5 Disember 2012 hingga 30 September 2013.
    
Naib Presiden Kanan Serantau MAS bagi Malaysia dan Wilayah Asean, Muzammil Mohamad berkata jualan itu menawarkan tambang kelas ekonomi sehingga 30 peratus dari kadar pasaran untuk perjalanan domestik dan antarabangsa sementara bagi
tambang kelas perniagaan, tambang akan diberi potongan sehingga 45 peratus.
    
"Tawaran ini meliputi tambang dari Malaysia ke pelbagai destinasi MAS di Asia Tenggara, Asia Utara, Asia Selatan, Australia, Amerika Utara dan Eropah.
    
"Jualan ini bagi membolehkan pelanggan terlebih dahulu merancang percutian mereka hingga ke separuh kedua 2013 kerana tempoh perjalanan telah dipanjangkan hingga akhir September," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 Menurut kenyataan itu, tambang 'all-inclusive' kelas ekonomi YES ke London bermula dari hanya RM3,409 dan semua penerbangan ke London kini adalah menerusi pesawat A380 dengan pengenalan perkhidmatan Kuala Lumpur-London dua kali sehari.
    
Muzammil berkata MAS juga menawarkan tawaran menarik ke banyak destinasi di Asia Tenggara. Keseluruhan tambang pergi-balik bagi kelas ekonomi dari Kuala Lumpur ke Bali bermula dari RM679 sementara bagi kelas perniagaan bermula dari
RM2,279.
    
Tambang pergi-balik kelas ekonomi ke Hanoi, bandaraya Ho Chin Minh, Yangon dan Manila masing-masing bermula dari RM779, RM569, RM679 dan RM869. Bagi kelas perniagaan, tambangnya bermula masing-masing dari RM1,179, RM1,879, RN2,279 dan RM2,479.
    
Bagi di dalam negara, tambang kelas ekonomi dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang, Langkawi, Johor Baharu atau Kota Baharu masing-masing bermula dari RM224, RM274, RM254 dan RM274.
    
Bagi kelas perniagaan ke destinasi tersebut, tambang bermula dari RM768.
    
Tambang pergi-balik bagi kelas ekonomi dari Kuala Lumpur ke Kuching, Kota Kinabalu, Sibu atau Miri bermula dari hanya masing-masing RM1,568, RM1,968, RM1,868 dan RM1,768.
    
"Tiada lagi tawaran ke setiap destinasi MAS melalui jualan ini dan kami menyeru pelanggan tidak melepaskan peluang ini untuk mengembara dan meneroka dunia," kata Muzammil.
    
Untuk mendapat maklumat lanjut mengenai jualan ini, pelanggan boleh melayari www.malaysiaairlines.com atau menghubungi talian bebas tol 24 jam 1300 88 3000, MH Buddy in Malaysia Airlines Facebook, MHmobile, pejabat tiket Malaysia
Airlines dan ejen yang dilantik di seluruh Malaysia.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.