Bapa rayu MPM segerakan semakan keputusan UPSR

Seorang bapa dari Taman Cahaya, Jitra merayu kepada Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) agar menyegerakan semakan keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) anaknya sebelum 10 Disember ini agar berpeluang melanjutkan ke sekolah berasrama penuh tahun hadapan.

Ulon Azmi Harun, 62, berkata jika keputusan semakan UPSR itu lambat dikeluarkan menyebabkan peluang anaknya Annamirah, 12, dari Sekolah Kebangsaan Ahmad Tajuddin, Jitra tidak berpeluang memasuki sekolah asrama penuh.

Katanya keputusan percubaan UPSR anak tunggalnya itu cemerlang iaitu 5A dan apabila keputusan sebenar hanya mendapat 4A 1B.

Dia kemudiannya dinasihatkan oleh guru-guru supaya menghantar permohonan kepada MPM untuk melakukan semakan segera jika terdapat kesilapan mengenai keputusan tersebut.
    
Ulon Azmi telah menghantar surat permohonan semakan keputusan peperiksaan tersebut kepada MPM pada 20 Nov lepas.

"Kalau MPM lambat hantar keputusan susahlah. Tak ada guna buat rayuan jika keputusan tersebut lambat diketahui sebab permohonan untuk masuk ke sekolah asrama penuh akan tamat 10 Disember ini," katanya kepada Bernama hari ini.
    
Justeru beliau merayu kepada MPM agar memaklumkan segera keputusan semakan bagi membolehkan anaknya layak memohon ke sekolah berasrama penuh.
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.