Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow menimbulkan satu lagi kontroversi dengan menjemput dua bekas pemimpin MCA, yang dianggap telah "tercemar" oleh lawannya, sebagai anggota badan pemikirnya.

"Tiada apa yang penting tentang perkara ini. Setiap orang mempunyai sejarah masa lalu," kata Teng, ketika ditanya mengenai perkara itu hari ini.

"Tidak kira siapa yang saya lantik, mereka (lawannya) akan mengkritik. Saya lantik Ketua Pemuda Umno negeri Shaik Hussein Mydin untuk menyelaras kempen pilihan raya kami, mereka juga mengkritik," tambah Teng.

Menurutnya, kedua-dua penasihat barunya itu telah menjalani hukuman mereka dan "apa yang saya perlukan adalah idea-idea mereka. Itu saja," tegasnya.

Kedua-duanya, bekas pemimpin Pemuda MCA dan bekas timbalan menteri - Kee Yong Wee dan Wong Choon Win - aktif dalam MCA pada 1980-an.

Lawan Teng telah menyifatkan Kee dan Wong sebagai tokoh kontroversi kerana mereka telah ditangkap, didakwa, disabit kesalahan dan dipenjarakan bagi jenayah pecah amanah berkaitan dengan dana awam.

Wong, 74, telah ditahan dan didakwa atas jenayah pecah amanah dalam skandal koperasi pengambilan deposit pada bulan Februari 1987.

Dia telah disabitkan, dipenjarakan selama sembilan bulan dan dibebaskan pada 9 November 1988.

Kee, bekas timbalan menteri perdagangan dan industri pada tahun 1984, juga telah ditangkap, didakwa, disabitkan dan dipenjarakan kerana jenayah pecah amanah pada tahun 1987.

Teng, yang juga setiausaha agung Gerakan, berkata beliau menjemput Kee dan Wong untuk membantu BN menawan semula Pulau Pinang dalam pilihan raya umum yang akan datang, yang mesti diadakan menjelang Jun tahun depan.

"Bersikap adillah dalam menilai mereka, semua orang mempunyai sejarah masa lalu," kata Teng kepada Malaysiakini, sambil berkata beliau mempunyai beberapa orang lain yang membantunya dalam badan pemikir tersebut.

[Baca berita penuh]

ADS