PKR kait ahli keluarga Pak Lah dengan projek meter

Pengerusi biro pelaburan PKR Wong Chen mendakwa seorang anggota keluarga bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi terlibat dalam salah satu syarikat yang membekalkan meter baru untuk pengguna Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Malaysiakini tidak menyiarkan nama syarikat berkenaan sebelum mendapat reaksi individu terbabit.

Ketika ditanya selepas itu, Wong berkata beliau mahu TNB menjelaskan mengenai perolehan kontrak berkenaan kerana bimbang ia akan dikaitkan dengan kronisme.

Beliau juga mahu TNB mengemukakan butiran penuh secara telus mengenai kontrak untuk membekalkan meter baru tersebut, yang dibimbangi akan membebankan pengguna.

"Ini satu pernyataan fakta. Kami tidak menuduh apa-apa tetapi ia lebih bagus jika TNB tampil ke hadapan dan menjelaskan perkara ini sebelum orang ramai mengaitkannya dengan perkara seperti kronisme," katanya ketika dihubungi.

TNB pada Oktober ini menangguhkan program penggantian meter berkenaan ekoran rungutan pengguna yang mengadu dikenakan caj tinggi selepas menukar alat tersebut.

Menteri yang bertanggungjawab ke atas TNB, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui ketika mengumumkan perkara itu juga berkata ia ditangguhkan sementara menunggu sehingga garis panduan untuk program tersebut ditetapkan.

Kadar tarif juga akan dikekalkan sehingga Jun tahun depan, kata Peter Chin seperti dilaporkan.

Mengulas perkara itu, Wong menganggarkan bahawa pengguna akan menanggung beban sebanyak RM688 juta setiap tahun sekiranya meter baru itu memberi peningkatan dua peratus dalam semua bil elektrik.

Beliau juga menganggarkan bahawa TNB perlu menanggung kos RM2 bilion berdasarkan anggaran harga RM250 untuk setiap unit meter bagi 8.03 juta pengguna.

"Memandangkan meter elektrik baru ini mempunyai jangka hayat (selama) 10 tahun, pengguna akhirnya akan membayar RM6.88 bilion lebih kepada TNB untuk tempoh 10 tahun," katanya lagi.

Dalam sidang media sama, pengarah komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad pula menuntut agar TNB mendedahkan butiran mengenai tender berkenaan secara telus.

"Perkara ini sewajarnya dilihat sebagai isu kepentingan nasional yang melibatkan berbilion ringgit."

ADUN Seri Setia itu berkata beliau menerima 22 aduan daripada penggua yang mendakwa bil mereka meningkat antara 20 hingga 50 peratus selepas TNB menjalankan operasi penggantian meter tersebut.

Nik Nazmi berkata badan itu perlu menyiasat aduan berkenaan memandangkan TNB mendakwa meter baru itu memberi bacaan yang lebih baik dan tepat.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.