Petani Kubur Panjang rugi sawah ditenggelami air

Seramai 20 pesawah di Kampung Perupok, Kubur Panjang di Pendang kerugian lebih RM20,000 akibat sawah mereka yang keseluruhan seluas 28.35 hektar ditenggelami air sebanyak empat kali mulai awal September lepas.

Ketua Unit Padang Kampung Perupok, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kubor Panjang, Ahmad Tarmizi berkata kejadian terbaharu berlaku empat hari lalu akibat hujan lebat, ketika anak padi berusia dua minggu.

Beliau berkata punca utama sawah ditengelami air ialah kerana tali air yang sepatutnya menyalurkan air ke Sungai Lampam tersumbat dan menyebabkan air bertakung hampir seminggu.

Tali air itu dikatakan tidak diselenggara sejak 20 tahun lepas.

"Sepatutnya hujung bulan depan, padi sudah boleh dituai," katanya.

Ahmad berkata perkara tersebut pernah diadu kepada Jabatan Perairan dan Saliran, namun gagal diatasi.

Seorang pesawah Ahmad Zaki Ladin, 48, yang mengusakan sawah seluas 1.2 hektar berkata beliau mengalami kerugian kira-kira RM2,000.

"Kita beli benih padi dengan cara berhutang dengan PPK. Satu kampit berharga RM30. Dengan keadaan ini, kita tidak dapat jelaskan hutang sementara hasil padi tidak dapat dipastikan," katanya.

-Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.