Syed Hamid: Masyarakat India perlu terus sokong BN

Masyarakat India perlu terus menyokong BN yang sudah ternyata mampu membela rakyat, kata pengerusi BN Bahagian Kota Tinggi, Tan Sri Syed Hamid Albar.

Beliau berkata tiada alasan untuk mereka memilih pembangkang yang hanya bercita-cita menawan Putrajaya.

Kerajaan BN, katanya, telah menyediakan pelbagai keperluan masyarakat India termasuk dalam bidang pendidikan, ekonomi dan usaha menaiktaraf kehidupan mereka.

"Apa yang perlu, ialah kita bersama-sama bekerja kuat, saling membantu supaya jangan ada dalam kalangan kita yang ketinggalan, yang tidak dapat menikmati kemajuan, berhadapan dengan kesusahan dan kemiskinan," katanya pada majlis penyampaian sumbangan sempena sambutan Deepavali di Pejabat MIC Bahagian Kota Tinggi di Kota Tinggi, malam tadi.

Beliau berkata pilihan raya umum kali ini bakal menguji kesetiaan dan nilai budi rakyat berterima kasih kepada kerajaan BN yang melaksanakan pelbagai agenda serta program untuk kebaikan bersama.

Pada majlis itu, Syed Hamid menyampaikan sumbangan barang makanan asas serta wang tunai RM100 kepada 80 penerima.

Turut diraikan dan menerima sumbangan RM100, ialah tujuh pelajar cemerlang peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dari tiga Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) iaitu lima pelajar dari SJKT Jalan Tajul, seorang pelajar masing-masing dari SJKT Ladang Pelepad dan SJKT Ladang R.E.M.

Sebelum itu, Timbalan Pengerusi MIC Bahagian Kota Tinggi, S.Vadivellu menggesa masyarakat India supaya terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada BN bagi memastikan nasib mereka terus dibela.

Beliau berkata, BN sentiasa komited memberikan perkhidmatan dan membangunkan masyarakat tanpa mengira kaum dan memberikan pembangunan berterusan secara adil kepada semua rakyat.

Malaysia adalah satu-satunya negara yang dilihat begitu prihatin dengan nasib kaum India khususnya dalam meluluskan dan menyediakan peruntukan untuk kuil dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), katanya.

-Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.