Dr Hasan bukan lagi ketua pengarah kesihatan

Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman yang diturunkan satu gred susulan kes khalwat bulan lalu, kini bukan lagi Ketua Pengarah Kesihatan, kata Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Tan Sri Mahmood Adam.
    
Menjawab status Dr Hasan yang menjadi tanda tanya, beliau berkata Mesyuarat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) pada 26 Nov lalu memutuskan untuk menggantung kerja Dr Hasan sebagai ketua pengarah kesihatan berkuat kuasa 14 November lepas.
    
"Dr Hasan telah digantung kerja dan sejak itu beliau bukan lagi Ketua Pengarah Kesihatan. Namun, beliau masih seorang penjawat awam," katanya ketika dihubungi di Putrajaya hari ini.
    
Isnin lepas, dalam satu kenyataan, Mahmood berkata mesyuarat SPA telah memutuskan Dr Hasan yang merupakan Pegawai Perubatan Gred Utama Turus II, Kementerian Kesihatan itu diturunkan pangkat ke satu gred yang lebih rendah daripada jawatan yang disandang sekarang dan ia dibuat mengikut Peraturan 33(1), Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
    
Sementara itu, Mahmood berkata Dr Hasan belum mengemukakan surat rayuan atau persaraan awal berikutan penurunan pangkat beliau.
    
"Kalau beliau (Dr Hasan) mahu merayu atau bersara awal, beliau kena membuat permohonan melalui Kementerian Kesihatan," katanya.
    
Pada 14 November lepas Dr Hasan, 56, dan pasangannya Wan Syarifah Nooraazmanita Wan Hassan, 36, juga petugas kementerian, masing-masing didenda RM3,000 dan RM2,900 oleh Mahkamah Tinggi Syariah setelah mengaku bersalah atas tuduhan berkhalwat di sebuah bilik Hotel Pullman Putrajaya pada jam 2.18 pagi hari yang sama.

- Bernama

 

1. KP kesihatan diturun pangkat satu gred lebih rendah

2. KP Kesihatan didenda RM3,000 kerana khalwat

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.