Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Gantung petugas MPS terlibat roboh altar Hindu'
Diterbitkan:  Dec 5, 2012 5:58 PM
Dikemaskini: 11:32 PM

Tujuh pemimpin India dalam Pakatan Rakyat Malaysia menggesa supaya digantung tugas kakitangan Majlis Perbandaran Sepang (MPS) yang terlibat dalam perobohan kontroversi altar upacara agama Hindu di sebuah kediaman persendirian bulan lepas.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka menegaskan bahawa, walaupun pembinaannya telah melanggar undang-undang kecil bangunan, tetapi cara perobohannya adalah "tidak wajar, tidak perlu dan melukakan sentimen agama kaum India".

Ia ditandatangani oleh Naib presiden PKR N Surendran (kiri), Ahli Parlimen (MP) DAP Teluk Intan, M Manogaran; MP PKR Subang, R Sivarasa; MP Kapar, S Manickavasagam; ADUN Port Dickson, M Ravi; Ketua Biro Hak Asasi Manusia PKR, S Jayathas, dan Senator DAP, S Rama Krishnan.

Kira-kira 30 anggota penguatkuasa MPS dilaporkan telah pergi ke rumah tersebut milik Umah Devi pada 20 November dan merobohkan altar tersebut yang didirikan dalam kawasan berpagar.

Exco kerajaan negeri Selangor Dr Xavier Jeyakumar telah dilapor mempertahankan MPS, dengan berkata ia mempunyai hak untuk bertindak apabila struktur haram dibina di dalam atau di luar sesebuah rumah, dan bahawa kerajaan negeri tidak boleh campurtangan tanpa sebab yang sah.

Bagaimanapun, tujuh ahli politik berkenaan mendakwa kerajaan negeri adalah terikat oleh satu perintah di mana struktur agama tidak boleh dirobohkan tanpa persetujuan pasukan petugas khas exco negeri.

"Mengapa tiada persetujuan itu diperolehi dalam kes ini?" kata mereka sambil menambah, kegagalan mematuhi arahan kerajaan negeri itu yang sah di segi undang-undang, merupakan salahlaku yang serius oleh MPS.

"Ianya bukan,  dan tidak akan menjadi dasar Pakatan untuk sewenang-wenangnya merobohkan kuil atau lain-lain struktur agama."

Mereka menuntut agar kerajaan negeri Selangor - yang diketuai Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (kanan) - supaya segera mengarahkan siasatan penuh terhadap insiden tersebut dan bertindak terhadap mereka yang didapati bersalah memberi kebenaran atau melakukan perobohan tersebut.

"Sementara menunggu siasatan, kita menggesa digantung tugas semua kakitangan dan pemegang jawatan yang terbabit dalam insiden tersebut," kata mereka.

"Kami juga menggesa kerajaan negeri Selangor untuk mengkaji semula semua prosedur semasa yang berkaitan dengan isu-isu yang timbul dari pembinaan atau lokasi struktur agama untuk memastikan insiden itu tidak akan berulangnya."

[Baca berita penuh]

ADS