Polis panggil saksi pergaduhan di Gombak

Polis akan memanggil saksi bagi mendapatkan keterangan berhubung pergaduhan penyokong dua parti politik semasa
ceramah umum pemimpin pembangkang di tanah lapang di Batu 8 1/2, Gombak malam tadi.
    
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Supt Rosly Hassan berkata polis mempunyai rakaman video berhubung kejadian itu yang berlaku pada pukul 9.30 malam yang menyebabkan dua lelaki berusia 37 tahun cedera di dahi dan bahu  dipercayai akibat terkena objek yang dibaling seperti batu dan botol air.
    
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata bahaya dalam rusuhan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
    
Beliau berkata kekecohan dikatakan berlaku apabila kira-kira 250 lelaki tidak berpuas hati kerana ceramah yang turut dihadiri Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim diadakan di kawasan berhampiran kediaman mereka.
    
"Kedua-dua mangsa dirawat di Hospital Selayang dan Hospital Kuala Lumpur sebagai pesakit luar dan polis telah merakamkan keterangan kedua-dua mangsa bagi membantu siasatan," katanya pada sidang media hari ini.
    
Mengenai notis untuk mengadakan ceramah, Rosly berkata pihak penganjur gagal mematuhi Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman yang mensyaratkan notis diberi dalam tempoh 10 hari kepada polis dan bukan hanya lapan hari.
    
Sementara itu Pemuda Umno Gombak menafikan mereka memulakan provokasi sehingga menyebabkan kedua-dua pihak saling membaling objek seperti botol dan batu ke arah satu sama lain.
    
Ketua Pemudanya Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata penduduk membantah secara aman ceramah itu kerana ia diadakan di kawasan mereka, tanpa berniat mencetuskan pergaduhan.
    
"Namun penyokong PKR tiba-tiba mengejek dan mencetuskan provokasi sehingga mereka mula membaling beberapa objek seperti batu, periuk belanga, kuali dan tong minuman kepada penyokong BN yang berada di seberang jalan," katanya.

- Bernama

1. Penyokong PKR, BN didakwa diserang di ceramah Anwar

    
Beliau berkata penyokong Pakatan Rakyat (PR) memulakan provokasi kerana  mengadakan ceramah di hadapan Bilik Gerakan Peti Undi Gombak Utara ketika pihak Pemuda Umno turut mempunyai program taklimat jentera pilihan raya.
    
Ketua Penerangan Pemuda Umno Cawangan Batu 10, Gombak, Mohd Faizaruddin Mustafha yang cedera terkena batu yang dilempar berkata beliau tidak menyangka penyokong PR sanggup bertindak ekstrem dengan mencederakan beliau dan beberapa penyokong BN.
    
Beliau yang menerima sembilan jahitan ekoran kecederaan di kepala berkata beliau tidak jelas siapa yang membaling batu kepadanya.
    
Naib Presiden PKR Tian Chua ketika dihubungi melahirkan rasa kesal dengan kejadian itu dan mengalu-alukan siasatan polis.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.