Rancangan Korea Utara lancar roket boleh ancam keamanan

Rancangan Korea Utara untuk melancarkan roket keduanya bulan ini boleh meningkatkan ketegangan di Semenanjung Korea danmengancam keamanan, kestabilan dan keselamatan di rantau tersebut.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Korea Utara perlu menghormati sepenuhnya resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC)dan Kenyataan Pengerusi UNSC pada 16 April lalu berhubung perkara tersebut.
    
"Malaysia percaya semua usaha perlu bermatlamat mengukuh komitmen untuk mengekal keamanan dan keselamatan serantau dan membentuk persekitaran aman di Semenanjung Korea khususnya dan Timur Laut Asia amnya, persekitaran yang membolehkan suasana kondusif dan penting kepada pembangunan ekonomi Korea Utara," katanya dalam satu kenyataan semalam.
    
Anifah menggesa semua pihak perlu mengamalkan kekangan dan mengelak tindakan  yang boleh menambah buruk keadaan di wilayah Timur Laut Asia.
    
Sabtu lalu Korea Utara mengumumkan rancangannya untuk melancar roket jarak jauh kedua antara 10 hingga 22 Dis ini.
    
Roket pertamanya gagal dilancarkan April lalu.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.