Polis rampas laptop Malaysiakini

Polis merampas sebuah komputer riba daripada portal berita Malaysiakini untuk menyiasat kiriman e-mel Prof Abdul Aziz Bari mengenai kenyataannya ke atas Sultan Selangor susulan serbuan Jabatan Agama Islam Selangor terhadap gereja DUMC.

Rampasan itu dilakukan dua anggota polis diketuai Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Shah Alam Mohd Hamizi Abu Bakar dan disaksikan oleh Ketua Pengarang Malaysiakini Fathi Aris Omar.

NONERampasan yang dilakukan untuk pada kira-kira jam 5.35 petang di pejabat portal berita ini petang semalam bertujuan untuk menyemak e-mel daripada Aziz Bari berhubung perkara tersebut.

Polis merampas komputer riba yang digunakan penolong pengarang meja bahasa Melayu Malaysiakini, Mohd Jimadie Shah Othman, untuk ujian forensik namun tidak dapat dipastikan bila komputer itu akan dipulangkan.

"Kami menggesa polis untuk memulangkan laptop itu sebaik sahaja selesai melakukan siasatan. Malaysiakini sentiasa memberi kerjasama penuh dengan pihak berkuasa. Dan kami berharap polis juga boleh memberi kerjasama," kata Fathi Aris.

Pasukan berkenaan sebelum itu merakam kenyataan daripada Mohd Jimadie Shah selama kira-kira 20 minit bermula 4.30 petang – antara mengenai lokasi komputer terbabit dan pengesahan bahawa beliau merupakan pengguna komputer tersebut.

"Saya menjawab laptop itu diletakkan di meja saya di pejabat. Saya tiada dokumen untuk mengesahkan ia digunakan oleh saya, tetapi polis boleh merujuk kepada pihak majikan saya," katanya kepada Malaysiakini selepas disoalsiasat.

Mohd Jimadie Shah dan Abdul Aziz disiasat bawah seksyen 4 Akta Hasutan selepas Senator Ezam Mohd Nor membuat laporan polis berhubung pandangan Abdul Aziz yang disiarkan Malaysiakini.

Abdul Aziz dalam laporan berita itu antara lainnya menyatakan pandangannya mengenai tindakan campurtangan Sultan Selangor dalam isu pemeriksaan gereja Methodist di Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu.

Oktober lalu, polis turut mengambil keterangan daripada Mohd Jimadie serta penolong pengarang berita pada ketika itu, Wee Yu Meng berhubung isu sama.

Difahamkan, polis telah mengambil keterangan daripada Wee, Isnin lepas.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.