Penganjur: Himpunan di Melaka pindah kerana 'ugutan'

Penganjur Himpunan Kebangkitan Rakyat Melaka mendakwa, seorang pemilik tanah menerima pelbagai ugutan daripada individu tertentu sehingga takut untuk menyewakan kawasan berkenaan bagi digunakan sebagai lokasi perhimpunan pada hari Sabtu depan.

Setiausaha program himpunan itu, Asri Shaikh Abdul Aziz berkata perkara itu menyebabkan lokasi berkenaan terpaksa dipindahkan ke satu kawasan lapang di belakang pejabat DAP negeri.

Tanpa menamakan individu tertentu, Asri yang juga setiausaha perhubungan PAS Melaka mendakwa ugutan berkenaan disampaikan oleh "Umno dan BN".

"Sebelum ini (pemilik tanah) telah mengeluarkan surat persetujuan untuk menyewakan tanah tersebut tetapi tengahari ini beliau menghubungi kita menarik balik persetujuan tersebut atas alasan ada pihak yang mengugut beliau.

"Kita berasa amat kesal dengan tindakan tersebut kerana ianya dibuat hanya 2 hari sebelum program dilaksanakan dan kita terpaksa melakukan persiapan dari awal di lokasi baru," kata Asri dalam kenyataan medianya hari ini.

Mengulas lanjut, Asri berkata beliau yakin bahawa tindakan tersebut akan menyebabkan rakyat bangkit menolak BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Malaysiakini berusaha mendapatkan penjelasan daripada pemimpin Umno negeri itu berhubung dakwaan tersebut, tetapi masih belum berhasil. 

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.