Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Musa kata tak pernah diarah siasat buku '50 Dalil...'

Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan menegaskan beliau tidak pernah diarahkan oleh sesiapa untuk membuka kertas siasatan ke atas buku 50 Dalil Anwar Tidak Boleh Jadi PM pada sekitar tahun 1998.

Menurutnya, siasatan ke atas buku itu hanya dijalankan apabila terdapat laporan polis dibuat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan timbalan perdana menteri pada masa itu.

"Dalam kes itu saya tak diarah sesiapa kerana yang buat laporan adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri," katanya.

Musa mengakui memberikan taklimat kepada Anwar berkenaan perkembangan kes itu pada peringkat awal siasatan.

Beliau bagaimanapun berhenti berhenti berbuat demikian kerana timbul konflik kepentingan, katanya.

Jelasnya, bekas timbalan perdana menteri itu merupakan pengadu kes dan pada masa sama terdapat laporan polis lain terhadap Anwar, kata Musa.

"Masa permulaan, ya betul (saya jumpa beliau) untuk maklum (siasatan kes)," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu ditanya pada sidang media selepas wacana di Shah Alam petang tadi.

Musa sebelum ini meraih kontroversi berhubung dakwaannya mengenai campur tangan menteri sewaktu beliau memikul tanggungjawab sebagai ketua polis negara.

Dalam laporan Sinar Harian hari ini, beliau memberi contoh campur tangan menteri berkenaan seperti dalam operasi polis ketika menangani perhimpunan BERSIH.

Katanya, campur tangan berkenaan antara lainnya menyebabkan "orang di bawah pening kepala nak buat kerja".

Musa pernah bertugas di bawah Datuk Seri Syed Hamid Albar dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sewaktu menjadi ketua polis negara.

Musa juga merupakan pegawai penyiasat dalam kes salah guna kuasa Anwar dengan mengganggu siasatan polis dalam kes Liwat I – yang mana bekas timbalan perdana menteri itu didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara enam tahun pada 14 April 1999.

ADS