Wanita menangis di mahkamah kerana saman AES

Seorang wanita yang disaman di bawah Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) menangis di mahkamah Kuala Lumpur semalam, tetapi pulang dengan tersenyum lebar selepas majistret menggugurkan pertuduhan terhadapnya kerana kesilapan teknikal.

Soon Chooi Mee diperintahkan ke mahkamah majistret pagi semalam atas tuduhan tidak berhenti di lampu isyarat di Jalan Klang Lama di ibunegara.

Soon, 53, yang mengalami masalah pendengaran, hilang alat bantuan pendengarannya dalam satu rompakan dua hari lalu dan dia hampir tidak dapat mendengar soalan dari majistret Noorasyikin Sahat.

Apabila jurubahasa membaca kertas pertuduhan yang menyatakan Soon tidak berhenti di lampu isyarat ketika lampu merah sekitar jam 12 tengah malam, Soon berkata mengikut saman yang diterimanya, waktunya ialah sekitar jam 12 tengah hari.

Mahkamah kemudian menangguhkan kes itu untuk mendapatkan penjelasan mengenainya.

Bagaimanapun, mungkin kerana tekanan akibat rompakan pada malam Rabu, dan terpaksa pula hadir di mahkamah pada keesokannya, Soon kelihatan menangis.

Seorang peguam dan wartawan yang duduk berhampiran dengan Soon di mahkamah cuba memenangkannya.

Tuduhan digugurkan

Apabila kes itu disambung semula kemudiannya, majistret Noorasyikin menggugurkan pertuduhan terhadap Soon kerana dua masa berlainan bagi tuduhan tersebut dalam saman dan kertas pertuduhan.

Soon kemudiannya berhenti menangis beredar dari mahkamah, sambil tersenyum.

Mahkamah majistret Kuala Lumpur sesak semalam dengan lebih daripada 1,400 pemandu yang menerima saman AES yang diperintahkan hadir di mahkamah, menjadikannya bilangan terbesar yang hadir sejak beberapa hari yang lalu.

Bagaimanapun, daripada bilangan itu, hanya 58 orang, termasuk Soon, yang hadir untuk kes mereka didengar mahkamah. Daripada jumlah itu, 13 mengaku tidak bersalah dan 44 mengaku bersalah.

Dua empat orang yang mengaku bersalah itu didenda RM300 manakala 20 lagi diberi amaran.

Di mahkamah yang sama pada hari Selasa, pemandu 914 telah disaman supaya hadir, tetapi hanya 27 yang hadir.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.