Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DAP: Rakyat hanya puas hati jika ikan besar didakwa
Diterbitkan:  Dec 7, 2012 4:29 PM
Dikemaskini: 8:52 AM

DAP bersetuju dengan cadangan Transparency International (TI) untuk melakukan perubahan struktur dalam memerangi rasuah, kata setiausaha agungnya, Lim Guan Eng.

Cadangan-cadangan tersebut ialah:

1.       Reformasi politik untuk mengurangkan politik wang dan menyisihkan peluang yang mengakibatkan rasuah besar.

2.       Terus memperkuatkan institusi-institusi penguatkuasaan undang-undang seperti SPRM, badan kehakiman dan polis. Keyakinan awam hanya boleh diperolehi jika mereka benar-benar bebas.

3.       Meluhurkan undang-undang tanpa takut atau memihak supaya “ikan besar” tidak imun daripada dakwaan.

4.       Membaik pulih Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan memperkenalkan Akta Kebebasan Maklumat di peringkat persekutuan.

5.       Tindakan tegas dan konsisten dalam menegakkan ketelusan dan kebertanggungjawab dalam kontrak kerajaan dan pemerolehan awam.

6.       Menangani rasuah sistemik dengan bertumpu kepada sektor-sektor khusus melalui penglibatan semua pihak berkepentingan termasuk sektor swasta, awam dan masyarakat madani.

7.       Memperbaiki perundangan untuk melindungi peniup wisel dan menggalakkan pemberian maklumat yang lebih.

Lim berkata, di bawah Pakatan, pihaknya berjanji untuk memperkenalkan reformasi yang dicadangkan oleh  TI itu bagi memastikan Malaysia menduduki tangga ke-30 dan ke atas menjelang akhir penggal pertama selepas pilihan raya umum Ke-13.

Rakyat Malaysia, tegas Lim, boleh berpuas hati dengan usaha untuk membanteras rasuah hanya apabila “ikan besar” berjaya didakwa serta perubahan asas diperkenalkan untuk memerangi rasuah.

"Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang baru dikeluarkan Transparency International menunjukkan Malaysia telah meningkat dalam kedudukan daripada tangga ke-60 daripada 183 pada tahun 2011 kepada tangga ke-54 daripada 176 buah negara pada tahun 2012.

"Walaupun peningkatan dicapai dalam CPI, skandal-skandal seperti skandal RM250 juta National Feedlot Corporation (NFC) tetap berterusan.

"Baru sekarang kita dapat lihat penyalahgunaan kuasa yang berlaku dalam kerajaan Selangor terdahulu, di mana tanah yang kini bernilai RM300 juta telah dijual kepada parti komponen BN dengan harga RM1 sekaki persegi (skp).

"Atau bagaimana wakil-wakil BN di Pulau Pinang menjual tanah primer di Tanjung Tokong, bersebelahan dengan Gurney Drive pada harga RM1 skp," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Peningkatan keseluruhan dalam CPI, kata Lim,  mengaburi penemuan lain yang membimbangkan, seperti yang ditunjukkan dalam Kajian Pemberi Rasuah (Bribe Payer’s Survey).

"Sebagai contoh, apabila ditanya “Adakah ia satu kelaziman bagi penjawat awam untuk meminta atau menerima rasuah?”, Malaysia mencatat markah 4.1 daripada 5 (5 merupakan yang paling teruk), iaitu sebahu dengan Indonesia yang menduduki tangga ke-118 dalam CPI.

"Apabila ditanya “Adakah ia satu kelaziman bagi penjawat awam, khususnya mereka yang berjawatan tinggi serta ahli politik, untuk menyalahguna wang awam?”, Malaysia mencatat 4.3 daripada 5, markah yang lebih teruk berbanding Indonesia yang mendapat 4.2.

"Yang paling membimbangkan adalah hakikat bahawa 50 peratus responden percaya mereka telah kehilangan peluang perniagaan akibat rasuah, lantas meletakkan Malaysia di kedudukan paling teruk daripada kesemua 31 negara yang dikaji dalam Kajian Pemberi Rasuah, lebih teruk daripada Indonesia (47%), Pakistan (42%) dan Rusia (39%)," tambahnya.

Menurut Lim lagi, jika salah satu teras utama NKRA Memerangi Rasuah – untuk mengukuhkan agensi penguatkuasaan, menangani rasuah besar serta mengurangkan ketirisan dalam pemerolehan kerajaan – dilaksanakan dengan betul, Malaysia sudah lama melonjak ke tangga ke-30 dan ke atas dalam CPI.

"Kegagalan untuk mengambil tindakan ke atas “ikan besar” tidak meyakinkan rakyat tentang kredibiliti SPRM atau komitmen politik kerajaan," tambahnya.

Pada masa yang sama, tambahnya, walaupun terdapat banyak laporan polis, dakwaan serta siasatan terhadap Ketua Menteri Sarawak dan Sabah, tiada tindakan yang diambil atau siasatan penuh dilakukan oleh SPRM.

Laporan TI 2012 juga, kata Lim, tidak merangkumi “sumbangan politik” RN40 juta kepada Umno Sabah serta pendedahan ahli peniaga Deepak Jaikishan mengenai urusan tanah yang mencurigakan. 

ADS