Nelayan Tanjung Dawai bantah aktiviti korek pasir

Lebih 50 nelayan bot pukat tunda di Tanjung Dawai dekat Sungai Petani mengadakan demonstrasi aman di hadapan jeti awam hari ini, bagi membantah aktiviti mengorek pasir di perairan Kuala Muda, iaitu lima hingga 10 batu nautika dari Pulau Sayak dan Pulau Bidan.

Kumpulan nelayan itu mendakwa aktiviti mengorek pasir tersebut bukan sahaja menjejaskan hasil tangkapan mereka tetapi turut merosakkan pukat.

Wakil kumpulan nelayan itu Mokhtar Mohamad, 47, berkata aktiviti terbabit tidak diketahui bermula sejak bila, namun kesannya dirasai sekitar Julai lalu apabila ramai nelayan bot pukat tunda merungut mengenai pukat rosak dan tangkapan merosot.

"Banyak pukat yang rosak akibat tersangkut pada selut yang terhasil daripada aktiviti mengorek pasir itu, menyebabkan nelayan mengalami kerugian dan terpaksa membaiki atau membeli pukat baru.

"Kami tidak tahu syarikat mana yang bertanggungjawab terhadap aktiviti itu, malah kami juga tidak mempunyai maklumat sama ada mereka beroperasi secara sah atau tidak, sebab itu kami berharap agar pihak yang berkenaan dapat tampil bagi membantu menyelesaikan masalah ini," katanya ketika ditemui pemberita.

Mokhtar berkata masalah yang membelenggu nelayan di kawasan itu sudah dipanjangkan kepada pihak berkenaan termasuk Persatuan Nelayan Tanjung Dawai dan pejabat tanah, namun belum ada pihak yang tampil mengambil tindakan.

"Sebab itu hari ini kami berkumpul dan mengadakan bantahan secara aman, bagi mendesak mereka yang terlibat memandang serius berhubung perkara ini seterusnya mengambil langkah sewajarnya.

"Tindakan pengusaha berkenaan yang melonggokkan selut di merata tempat, bukan sahaja menyusahkan nelayan untuk mencari rezeki tetapi juga akan merosakkan kawasan pembiakan ikan, justeru kami mahu tindakan segera daripada pihak berkenaan," katanya.

Susulan masalah yang dihadapi itu, satu laporan polis turut dibuat di Balai Polis Tanjung Dawai pada 3 Dis lalu, bagi mendesak tindakan segera diambil oleh pihak yang berkaitan.

Seorang lagi nelayan, Keng Seng Hock, 50, berkata kekurangan hasil tangkapan ikan pastinya menjejaskan sumber pendapatan nelayan.

"Saya dan nelayan-nelayan lain masing-masing mempunyai keluarga, sekolah akan dibuka tidak lama lagi, sekiranya tiada tindakan segera diambil, kami bimbang ia akan berlarutan dan menyebabkan nelayan-nelayan di sini hilang punca pendapatan," katanya.

-Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.