Isu sisa Lynas: DAP mahu 4 menteri letak jawatan

DAP menuntut empat menteri kabinet yang bertanggungjawab membenarkan Lynas Corporation Australia beroperasi di Gebeng supaya meletak jawatan kerana syarikat berkenaan tidak mengendahkan tuntutan supaya mengeksport sisanya.

Setiausaha agung DAP Lim Guan Eng dalam satu kenyataan berkata, pengakuan Lynas bahawa bahan berkenaan tidak boleh dieksport menunjukkan bahawa BN tidak jujur dan tiada komitmen dalam keselamatan dan kesihatan awam.

Lim merujuk kenyataan bersama pada 22 Februari yang dikeluarkan menteri perdagangan antarabangsa Datuk Seri Mustapa Mohamed, menteri sains dan tekonologi Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili, menteri sumber asli Datuk Seri Douglas Unggah Embas dan menteri kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai (left).

Kenyataan bersama itu menyebut bahawa Lynas akan mengemukakan surat janji untuk menerima pemulangan apa-apa sisa terhasil dairpada lojinya di Gebeng ke sumber asal, sebelum diberika Lesen Operasi Sementara (TOL).

Pengarah urusan Lynas Malaysia Mashal Ahmad kemudiannya menjelaskan bahawa bahan sisa tidak boleh dieksport kerana halangan undang-undang antarabangsa.

Bagaimanapun, Lim berkata keadaan itu sepatutnya memberi peluang kepada kerajaan persekutuan untuk membatalkan TOL sehingga syarikat itu mengemukakan rancangan untuk mengadakan kemudahan kekal untuk pelupusan.

"Jika BN enggan mempertahankan kepentingan rakyat... tetapi memilih keuntungan untuk kroni... maka Pakatan akan berbuat demikian apabila kami mengambil alih Putrajaya," katanya.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.