Jabatan Agama Johor tetap pantau LGBT

Jabatan Agama Johor akan terus memantau gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negeri itu walaupun tidak menerima sebarang aduan mengenainya sehingga kini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor Datuk Zainal Abidin Osman berkata Jabatan Agama Johor sentiasa mengikuti perkembangan LGBT menerusi media massa selain turut menjelaskan isu itu melalui khutbah Jumaat di seluruh negeri.

"Jabatan Agama Johor merancang mengadakan seminar pendidikan dan penjelasan tentang penyelewengan LGBT kepada masyarakat Islam di negeri ini supaya mereka lebih memahami mengenainya," katanya menjawab soalan Datuk Abdullah Ali (BN-Bukit Naning) pada persidangan dewan undangan negeri,  di Nusajaya hari ini.

Mengenai fahaman pluralisme dan liberalisme pula, Zainal Abidin berkata Jabatan Agama Johor sukar mengesan penyebaran pengaruh fahaman tersebut melalui pemantauan yang dilakukan.

Bagaimanapun pihaknya percaya kemungkinan terdapat segelintir individu yang cenderung kepada fahaman terbabit melalui Facebook, laman sesawang lain mahupun berhubung secara terus dengan negara luar melalui media sosial Skype.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Johor Datuk Hoo Seong Chang berkata dua lagi Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) akan dibuka di Johor bagi memberi manfaat kepada masyarakat.

Menjawab soalan Datuk M. Munusamy (BN-Permas), Hoo berkata dua kedai tersebut adalah di Taman Pesona di Kluang dan Pasir Gudang, di Nusajaya.

"Sehingga kini lapan KR1M sudah dibuka di negeri ini yang membabitkan Taman Bukit Pasir di Muar; Pusat Perniagaan Square dan Kompleks Pekan Rabu di Johor Baharu; Kota Tinggi; Pontian; Taman Maju Jaya di Labis; Endau di Mersing dan Jalan Muafakat di Tangkak," katanya.

Menjawab soalan tambahan Ong Kow Meng (DAP-Senai), beliau berkata pembukaan KR1M yang kini berjumlah 85 buah di seluruh negara amat rasional bagi menyediakan kemudahan kepada rakyat dan bukan gimik pilihan raya semata-mata.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.