Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Komuniti S'wak, Himpunan Hijau rangkul anugerah Suaram

Dua kumpulan yang konsisten memperjuangkan hak asasi rakyat dan kepentingan alam sekitar hari ini menerima Anugerah Hak Asasi Suaram di atas usaha mereka yang dianggap telah membentuk kesedaran rakyat berhubung perkara tersebut.

Dua kumpulan itu, Komuniti Baram & Murum dan Himpunan Hijau diumumkan oleh Ketua Juri Norlaila Othman - aktivis Gerakan Mansuhkan ISA dan isteri kepada bekas tahanan Mat Sah Mat Satray - di ibu negara pagi ini.

NONE Dua kumpulan itu merupakan antara empat kumpulan yang dicalonkan untuk dianugerah dengan anugerah tersebut.

Dua lagi yang dicalonkan adalah Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Undi Malaysia kerana usaha memperjuangkan hak mahasiswa dan rakyat Malaysia.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Pengarah Suaram Koo Kia Soong kepada wakil Himpunan Hijau Tan Woen Tian dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Baram Philip Jau pagi ini.

Ditemui pemberita selepas majlis itu, Norlaila berkata mereka membuat penilaian berdasarkan kepada laporan dan maklum balas yang diterima daripada pelbagai pihak.

"Perjuangan komuniti Murun dan Baram bermula sejak 10 tahun lalu dan mereka konsisten sampai sekarang. Dan mereka berjaya menambah bilangan sokongan terhadap mereka.

"Bagi Himpunan Hijau pula, mereka berjaya membentuk kesedaran masyarakat berhubung alam sekitar. Sebelum ini orang tak tahu (mengenai kepentingan penjagaan) alam sekitar... Perjuangan mereka turut konsisten dan pengikutnya bertambah," katanya.

NONE Norlaila mendakwa peranan yang dimainkan oleh Himpunan Hijau yang memperjuangkan isu alam sekitar "berjaya mengalahkan" agensi kerajaan yang bertanggungjawab mengenainya.

"Jika kerajaan tidak buat Lynas, saya rasa rakyat tidak terfikir (mengenainya). Jadi siapa yang memulakan masalah ini," katanya.

Ditemui Malaysiakini selepas majlis itu, Tan berkata pihaknya akan terus memperjuangkan isu alam sekitar selepas pihaknya berjalan dari Kuantan ke Kuala Lumpur sejauh 300 km membantah kilang nadir bumi Lynas.

"Rakyat Malaysia telah matang untuk memilih pembangunan yang diperlukan rakyat, termasuk berkaitan dengan alam sekitar," tegasnya sambil mendedikasikan anugerah itu kepada semua rakyat.

Ditanya tindakan selanjutnya, Tan berkata akhir bulan ini, mereka bercadang untuk membuat sekatan di Balok, Kuantan bagi menghalang nadir bumi diimport ke Malaysia.

"Manakala di Kuala Lumpur, kita akan berpuasa, sebagai solidariti untuk himpunan hijau," katanya.

NONE Manakala Philip pula berkata tindakan pihaknya yang membantah empangan di Baram sejak 2009 kerana ia memberi pelbagai kesan termasuk kemusnahan alam sekitar, rumah, banjir, tanah tradisi penduduk di sekitar projek berkenaan.

Beliau menempelak Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud yang didakwanya "sombong" dan tidak mendengar bantahan dan memorandum yang dihantarkan kepadanya.

"Kami akan terus menyambung mendesak kerajaan negeri dan kerajaan pusat untuk menghentikan projek empangan Baram... Cukuplah dengan empangan Bakun, Batang Ai dan Murum. Jangan ganggu kami lagi," katanya.

Beliau juga mendesak supaya ahli parlimen lebih tegas menyatakan pendirian dengan menyatakan empangan ini yang dianggapnya membawa banyak bencana kepada rakyat.

ADS