Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Setiausaha agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata beliau mendapat "cerita kelakuan sebenar" mengenai individu yang disaman pihak berkuasa tempatan Kelantan sehingga mencetus sensasi di media sejak minggu lalu.

Bagaimanapun, beliau enggan menjelaskan kelakuan individu berkenaan ketika ditanya pemberita dalam satu sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.

NONE "Yang ini (individu terbabit) mungkin agak teruk sikit. Saya tak nak cerita kelakuan sebenar walaupun telah diceritakan kepada saya," katanya.

Tambahnya, kes itu juga bukan tindakan pertama yang dikenakan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) ke atas orang bukan Islam di negeri itu.

Katanya, sebelum ini juga terdapat kes denda ke atas individu bukan Islam bagi kesalahan berkelakuan tidak sopan.

"Saya dah periksa di Kelantan, bukan semua yang diberi begini (saman). Banyak kes yang diberi nasihat.

"Cuma MPKB belum ambil langkah saman (kes sebelum ini). Mereka guna budi bicara. Sebelum ini ada kes. Tapi mereka bayar kompaun. Jadi isu ini disensasikan sahaja," katanya lagi.

Akhbar berbahasa Cina sejak minggu lalu giat melaporkan dua kes melibatkan tindakan pihak berkuasa tempatan.

Salah satu kes tersebut melibatkan tindakan saman ke atas dua orang lelaki bukan Islam di kawasan parkir lapangan terbang Sultan Ismail Petra dalam satu kejadian pada lewat malam.

Dalam kes berasingan, seorang lagi lagi lelaki turut dilaporkan disaman kerana mendukung teman wanitanya ketika berjoging di Taman Tengku Anis, di Kota Bharu.

ADS