Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ADUN BN kata tiada kuasa tentukan sewa asrama
Diterbitkan:  Dec 11, 2012 3:44 PM
Dikemaskini: 8:10 AM

Seorang ADUN BN Selangor, Sulaiman Razak hari ini dilaporkan berkata beliau tidak berkuasa untuk menaikkan atau menurunkan kadar sewa asrama Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

Laporan Sinar Harian menyebut, pengarah urusan Redha Resources Sdn Bhd (RRSB) itu berkata kadar sewa tahunan dikenakan itu adalah tetap berdasarkan kepada perjanjian konsesi yang dipersetujui bersama kerajaan negeri pada 2007.

NONE "Orang yang paling berhak untuk naikkan atau turunkan sewa bukan saya (RRSB), tapi pihak universiti sebab perjanjian kita dengan pihak univerisiti. Kalau pelajar hendak desak (turunkan sewa asrama), desak universiti.

"Mereka boleh berjumpa dengan Pengerusi Lembaga Pengarah Kuis (Menter Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim) menyatakan hasrat mereka," kata ADUN Permatang itu.

Beliau mengulas tindakan sekumpulan mahasiswa KUIS yang berhimpun di hadapan kediamannya di Shah Alam kelmarin bagi mendesak supaya kontrak menguruskan asrama tersebut dibatalkan .

Pelajar itu mendakwa, kontrak itu menyebabkan pelajar menanggung kenaikan menanggung kos "tidak adil dan tidak munasabah".

 

Siswa berkenaan juga menuntut Sulaiman - yang didakwa mendapat kontrak menguruskan asrama kolej itu - menandatangani kontrak baru dengan kadar sewa asrama yang lebih rendah berbanding kadar sedia ada.

Sulaiman bagaimanapun menyifatkan mahasiswa yang terlibat dalam bantahan tersebut sebagai penakut dan mendakwa golongan itu digunakan oleh pihak berkepentingan dalam politik.

"Oktober lalu, saya sudah jemput Majlis Perwakilan Pelajar dan pihak pengurusan universiti menjelaskan perkara ini.

"Hari itu saya jawab semua soalan yang dibangkitkan, tetapi malangnya kumpulan penuntut ini (yang adakan bantahan) tidak hadir.

"Mereka tidak faham (urusan konsesi). Kalau katakan dibatalkan, siapa pula hendak bayar hutang bank (yang digunakan untuk membina asarama)?" katanya.

Menurutnya lagi, beliau juga sudah menjelaskan perkara itu termasuk dakwaan yang mengaitkan kontrak itu dengan kroni BN dalam sidang DUN, Julai lalu.

Laporan Sinar Harian menyebut, RRSB dianugerahkan kontrak untuk membina asrama dan pusat pelajar bagi menampung keperluan 6,000 pelajar Kuis.

Perjanjian yang ditandatangani ketika pemerintahan Dr Mohamad Khir Toyo itu menetapkan RRSB diberikan konsesi untuk membina dan menyewakan kembali kemudahan itu selama 33 tahun kepada KUIS, menurut laporan itu lagi.

 

ADS